suria

Tenis: Khoo, Syed Mohd Agil Sandaran Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Kehadiran dua atlet pelapis kebangsaan Khoo Er Yang dan Syed Mohd Agil Syed Naguib dalam pasukan tenis lelaki Negeri Sembilan pastinya menjadi 'senjata berbisa' bagi kontinjen itu pada Sukan Malaysia ke-14 yang sedang berlangsung di sekitar Lembah Klang hingga 12 Jun ini.

Kedua-dua remaja yang baru berusia 17 tahun itu merupakan sandaran Negeri Sembilan untuk mempertahankan emas berpasukan lelaki, di samping merebut emas dalam acara perseorangan dan beregu.

Khoo yang juga pemenang pingat perak perseorangan lelaki tahun lepas, kali ini berazam untuk membawa pulang emas.

"Saya harap (prestasi) permainan saya akan terus meningkat, (walaupun) tahun ini kurang jalani latihan kerana akan duduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)," katanya kepada Bernama.

Pelajar Sekolah Menengah St Paul, Seremban itu mula mengangkat raket tenis pada usia 9 tahun di Kelab Diraja Port Dickson dan telah mewakili negara dalam beberapa kejohanan tenis remaja di luar negara.

Bagi Syed Mohd Agil pula, beliau melihat pasukannya mempunyai peluang yang tinggi untuk membolot sekurang-kurang empat daripada tujuh emas yang ditawarkan menerusi tenis kali ini.

"Tahun ini kita ada pemain-pemain lelaki yang hebat. Saya rasa kita tiada masalah untuk mendapatkan emas dalam acara berpasukan, individu dan beregu lelaki," katanya yang turut mensasarkan emas menerusi acara beregu campuran.

Syed Mohd Agil yang tidak ke sekolah sepanjang tahun lepas kerana mengikuti latihan di Kuala Lumpur, mengaku sedikit risau dengan prestasi akademiknya memandangkan beliau akan menduduki SPM tahun ini.

"Selepas Sukan Malaysia ini saya akan ke Indonesia pula untuk satu kejohanan. Selepas itu barulah saya berpeluang untuk fokus pada pelajaran," kata pelajar Sekolah Menengah Pendeta Za'ba itu.

Walaupun telah berkecimpung dengan tenis sejak kecil, Khoo dan Syed Mohd Agil masih ragu-ragu untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional selepas tamat persekolahan kerana berpendapat menjadi pemain profesional tenis di Malaysia tidak menjamin masa depan yang cerah.

"Nak jadi pemain profesional perlukan kos penajaan yang tinggi untuk ikut kejohanan di luar negara. Di Malaysia masih belum ada pihak yang sanggup menaja," kata Syed Mohd Agil yang masih belum memutuskan bidang apa yang akan diceburinya selain tenis.

Khoo pula berkata beliau berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan. - BERNAMA

Artikel Lain