suria

Sukma (Tenis): Selangor Tumpaskan Pahang 2 - 0 Dalam Saingan Akhir Tenis Wanita

KUALA LUMPUR: Satu-satunya pingat emas yang ditawarkan dalam acara tenis pada Ahad dimenangi Selangor, yang menepati ramalan untuk menjuarai acara berpasukan wanita di Kompleks Tenis Jalan Duta pada hari keempat Sukan Malaysia (Sukma) hari ini.

Pasukan itu yang dibarisi perseorangan S. Theiviya dan Alyssa Boey Chia Pheng serta beregu Adelle Boey Chia Yan dan T. Neesha mudah menundukkan Pahang dengan dua set tanpa balas dengan catatan 2-0.

"Kita tahu Pahang antara yang menyerlah kerana mudah menewaskan saingan lain pada pusingan awal, namun corak permainan mereka seolah-olah kepenatan hari ini.

"Oleh sebab itu kami gunakan peluang ini sebaiknya dan ia sememangnya satu keputusan yang melegakan sehingga ke peringkat akhir dengan memungut emas," kata Theiviya kepada Bernama.

Pada perlawanan perseorangan wanita pertama, Theiviya mudah menumpaskan Ti Jia Wei dengan keputusan kemenangan straight set, 6-3, 6-0 manakala perseorangan kedua Alyssa pula, juga mudah menumpaskan Delizavernne Kaur dengan juga keputusan straight set, 6-0, 6-2.

Pahang terpaksa berpuas hati dengan pungutan perak manakala Wilayah Persekutuan dan Kedah berkongsi pingat gangsa.

Perlawanan pusingan awal individu lelaki dan wanita akan berlangsung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain