suria

Sukma: Negeri Sembilan Dan Perlis Pungut Emas Pertama, Sabtu

KUALA LUMPUR: Kontinjen Negeri Sembilan dan Perlis masing-masing memungut pingat emas pertama pada pertandingan hari ketiga dalam Sukan Malaysia ke-14 menerusi acara berbasikal di Stadium Velodrom Cheras sehingga tengah hari Sabtu.

Amirul Anuar Jafri memulakan penguasaan Negeri Sembilan dalam acara berbasikal lelaki apabila memenangi pingat emas acara 15km scratch race lelaki dengan catatan masa 22 minit 22.147 saat menewaskan pesaingnya Mohammad Al-Ghazali Abdul Hamid (Kelantan) dengan perbezaan masa 1.095 saat.

Pingat gangsa dimenangi Sofian Nabil Omar (Terengganu) dengan catatan masa 22:23.344s daripada 45 pusingan keseluruhannya.

Ketika ditemui Bernama, Amirul Anuar, 19, berkata dia bangga dapat memberikan pingat emas pertama Negeri Sembilan dan akan mencuba sedaya upaya bersama rakan sepasukan untuk memperoleh pingat tanpa mengira warna dalam acara 4km Individu Pursuit dan Sprint esok.

"Pada mulanya strategi saya adalah memang mahu mengekalkan dalam kelompok utama namun saya melihat peluang terbuka pada 10 pusingan terakhir untuk menjarakkan diri daripada kelompok besar.

"Ketika dalam kelompok sembilan pelumba depan inilah membuatkan saya makin laju mahu tamatkan dengan kemenangan dalam perlumbaan ini dan tidak sangka mampu menewaskan Kelantan yang memang dekat mencabar saya," katanya selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, Perlis memperoleh pingat emas pertama yang disumbangkan dalam 10km scratch race wanita menerusi Ju Pha Som Net, yang bijak mengambil peluang pada hujung 200 meter pusingan terakhir dengan memecut laju menewaskan pesaing lain dengan catatan masa 18:04.367s.

Tempat kedua disandang oleh pelumba Terengganu, Zahraa Anuawar dengan catatan masa 18:04.695s sementara pingat gangsa dikutip oleh Nurul Ahmar Bazeuzzaman (Selangor) dengan catatan masa 18:04.985s.

"Saya memang mahu kekal bersama dalam kelompok utama pada awalnya kerana tidak mahu membazirkan tenaga namun pada pusingan akhir. Saya memang kerah tenaga kayuh laju-laju ketika lagi 200m berbaki.

"Saya berbangga dapat hadiahkan emas pertama buat Perlis dan juga emas pertama dalam acara berbasikal trek yang baru ini," katanya.

Pha, yang juga pelumba basikal wanita negara untuk memenangi empat pingat perak dan satu gangsa pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Februari lalu berkata ini merupakan kali ketiga penyertaannya dalam Sukan Malaysia.

"Saya akan memasuki dua acara iaitu 4km Individu Pursuit Wanita dan Sprint Wanita. Saya lihat peluang lebih kepada Sprint dan saya akan tumpukan lebih ke arah Sprint maka saya secara peribadinya meletakkan sasaran emas untuk acara Sprint Wanita esok," kata anak kelahiran Chuping, berumur 18 tahun itu. - BERNAMA

Artikel Lain