suria

Atlet Jangan Jadi Kacang Lupakan Kulit: Shahidan

KUALA LUMPUR: Atlet elit olahraga perlu mengkikis sikap menuding jari kepada Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) apabila mereka gagal mencipta keputusan cemerlang dalam sesuatu kejohanan.

Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sindrom menyalahkan orang lain semakin menular di kalangan atlet yang sering beranggapan mereka tidak patut dipersalahkan jika gagal menampilkan persembahan terbaik.

"Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit dengan terus merasakan diri sendiri betul kerana KOAM telah banyak menyumbang dalam kejayaan seseorang atlet," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Katanya beliau sedih dan kecewa dengan tindakan segelintir atlet yang tidak menghargai sumbangannya mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk membantu atlet berkenaan menyertai Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Katanya sikap tersebut adalah di luar etika seorang atlet profesional.

"Kerana cintakan sukan olahraga, saya sanggup keluarkan duit poket sendiri bagi menghantar atlet ke Guangzhou namum bila gagal mendapat pingat, mereka salahkan KOAM," kata bekas Menteri Besar Perlis itu.

Shahidan juga turut menegur sikap sesetengah atlet elit yang lebih suka meluahkan perasaan tidak puas hati mereka kepada media daripada bersemuka dengan KOAM.

Beliau berkata mana-mana atlet yang tidak berpuas hati dengan KOAM atau individu tertentu sepatutnya berjumpanya dengannya bersama bukti supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap mana-mana individu yang didakwa tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Saya sebagai presiden mempunyai kuasa untuk memecat mana-mana pegawai KOAM yang terbukti bersalah. Jadi atlet tidak perlu bimbang dalam hal ini," katanya.

Sebelum ini, beberapa atlet seperti atlet lumba lari 400 meter berpagar , Norseela Khalid dan atlet lompat bergalah, Roslinda Samsu lantang bersuara meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran dan individu tertentu dalam KOAM yang didakwa menyekat pencapaian mereka.-BERNAMA

Artikel Lain