suria

Malaysia Ungguli Dua Kategori Pada Regatta Qatar

LANGKAWI: Malaysia mengungguli dua kategori selepas berakhirnya saingan Kejohanan Qatar International Regatta 2011 Sail The Gulf edisi ke-19 yang berlangsung di Doha Sailing Club, Ras Abu Aboud di Doha, Qatar.

Dengan kejayaan itu Malaysia mengutip dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa. Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata pingat emas pertama negara diperolehi menerusi pelayar elit, Khairul Nizam Mohd Afendy yang muncul juara kategori Laser Standard setelah memenangi kesemua 10 perlumbaan sehingga tamat saingan semalam.

"Beliau menguasai kesemua perlumbaan dengan menduduki tangga pertama sejak bermula kejohanan itu Rabu lepas," katanya, Ahad.

Pemenang kedua dan ketiga disandang pelayar Bahrin iaitu Abdul Rahman dan Ebrahim.

Kejayaan kedua negara menerusi gandingan Mohd Latif Khan dan Mohd Hafizudin Mazelan yang cemerlang dalam acara International 420 manakala rakan sepasukan Nor Afikah Mohd Latif dan Khairunesa Mohd Afendy menduduki tangga kedua acara itu.

"Walaupun baru digandingkan Mohd Latif Khan dan Mohd Hafizudin, mereka telah menunjuk persembahan cemerlang," katanya. Di tempat ketiga adalah gandingan dari Bahrin, Ahmad Abdullahdug dan Dawood Abdullahdug.

Seorang lagi pelayar negara Khairuneta Mohd Afendy menduduki tangga ketiga acara International 4.7.

Acara itu dikuasai pelayar Norway dengan Lim Flem Host memenangi emas dan perak menjadi milik Carl Cedrik Klovstad. Lebih 200 pelayar dari 12 negara menyertai kejohanan itu yang bermula Selasa sehingga semalam.

Mohd Afendy berkata kejohanan itu sebagai menguji kemampuan pelayar negara dalam persiapan menghadapi Sukan SEA di Jakarta, Indonesia pada November.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain