suria

Mohd Jironi Juara Larian Serentak 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelari jarak jauh kebangsaan Mohd Jironi Riduan muncul peserta pertama menamatkan Larian Serentak 1Malaysia anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Dataran Merdeka di sini, Sabtu.

Anak kelahiran Sarawak itu mencatat masa terpantas 19 minit 59 saat,sekaligus mendahului 5,000 peserta lain, untuk muncul juara Kategori B (lelaki berumur 18 hingga 45 tahun) dalam larian sejauh lima kilometer itu.

"Tujuan saya berlari hari ini adalah bagi menyatakan sokongan saya kepada Yakeb yang telah banyak menjaga kebajikan para atlet dan juga untuk sama-sama menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Beliau berkata larian itu juga merupakan "warm up' baginya sebelum menyertai Sukan Universiti Asean di Chiangmai, Thailand pada 15 hingga 25 Disember ini.

Mohd Jironi akan mewakili negara dalam acara 800m dan 1,500m.

Pelari marathon kebangsaan Shaharudin Hashi yang turut mengambil bahagian dalam larian tersebut, hanya ketinggalan 28 saat (20:27) di belakang Mohd Jironi untuk meraih naib johan bagi kategori yang sama.

"Kami memulakan perlumbaan bersama-sama, tapi beliau (Mohd Jironi) lebih pantas dan berjaya meninggalkan saya pada hujungnya," kata Shaharudin yang sering mengikuti perlumbaan marathon di dalam dan luar negara.

Selain di Kuala Lumpur, Program Larian Serentak 1Malaysia itu turut diadakan di semua ibu negeri dengan jumlah penyertaan mencecah 17,000 orang.

Isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Yakeb Datin Seri Rosmah Mansor menyempurnakan upacara 'tembak mula' di Dataran Merdeka kira-kira 8.30 pagi bagi melepaskan para peserta di Kuala Lumpur dan seluruh negara.

Beliau juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang kategori A dan B bagi larian di sini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan presiden Yakeb Datuk Dr Mumtaz Begum Abdul Jaffar.

Setiap pemenang kategori membawa pulang wang tunai RM500 dan sijil penyertaan.

Berikut adalah senarai pemenang mengikut kategori bagi larian di Kuala Lumpur:

Kategori A (Lelaki bawah 17 tahun)

1. M.Kesavan

2. M.Kohpathy

3. J.Vigneswaran

Kategori B (Lelaki 18-45 tahun)

1. Mohd Jironi Riduan

2. Shaharudin Hashi

3. P.Kalidasan

Kategori C (Lelaki 46 tahun ke atas)

1. Khor Ngee Leong

2. Chuah Kean Kok

3. Ridzuan Sulaiman

Kategori D (Wanita bawah 17 tahun)

1. Sawin Kaur

2. Intan Shafina Rahim

3. Nurfaradila Azman

Kategori E (Wanita 17-45 tahun)

1. Yuan Yu Fang

2. Loh Chai Fern

3. Nor Farhana Mohd Fauzi

Kategori F (Wanita 46 tahun ke atas)

1. Agnes Tee

2. Wong Ah Yin

3. Wendy Soo - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wenger Balas Kritikan Pedas Evra

Artikel Berikut

Artikel Lain