suria

Belasungkawa: Harapan Terakhir Daud...

Daud meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Daud meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Daud meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

PEMERGIAN bekas pelumba basikal handalan negara, Daud Ibrahim merupakan kehilangan besar buat negara, lebih-lebih lagi kepada sukan berbasikal negara.

Bekas jurulatih kebangsaan itu meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah kereta yang dipandunya dilanggar dari belakang oleh sebuah treler di Kilometer 232.6, Lebuh Raya Utara-Selatan, Khamis.

Jasa dan bakti beliau dalam sukan lumba basikal negara amat besar sekali bukan sahaja sebagai pelumba namun turut mencurahkan pengalamannya kepada generasi baru selepas berhenti bergelar atlet negara.

Allahyarham muncul antara pelumba terbaik negara selepas meraih pingat emas dalam acara 1,600m pada Sukan Asia, di Bangkok 1970. Sebelum itu beliau telah membuat penampilan pertama dalam Sukan Asia Sea (juga dikenali sebagai Sukan SEAP) di Yangon, Burma pada tahun 1969.

Semenjak itu, keghairahannya dalam acara ini terus memuncak dan semangat yang ditunjukkan ketika berlumba tidak dapat ditukar ganti dengan atlet berbasikal yang lain.

Malah beliau berjaya menguasai acara ini sepenuhnya pada Sukan Sea 1977 di Kuala Lumpur dengan meraih lima pingat emas.

Selain mencipta nama di peringkat Asia Tenggara, Allahyarham turut beraksi pada Sukan Komanwel di New Zealand (1974) dan layak beraksi pada Sukan Olimpik di Munich pada tahun 1972.

Dengan kejayaan cemerlangnya itu, Allahyarham telah dipilih untuk menerima anugerah Olahragawan Negara oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada tahun 1971.

Kehilangan Allahyarham sudah tentu dirasai rakan seangkatannya pada zaman kegemilangannya Datuk Ng Joo Ngan yang turut beraksi di Bangkok.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab berkata, kehilangan Daud adalah satu kehilangan besar kepada keluarga sukan basikal negara.

"Kami pernah bekerjasama dalam exco persatuan ketika tahun 1987. Pada ketika itu, saya memegang jawatan sebagai timbalan presiden, manakala arwah sebagai penolong bendahari.

"Di situ kami agak rapat dan bagi saya beliau adalah seorang yang tegas dalam menyuarakan perkara-perkara yang tidak memuaskan hatinya.

"Pun begitu di luar beliau adalah seorang yang suka berjenaka dan mudah mesra dengan semua orang.

"Pihak persatuan juga pernah melantik beliau sebagai jurulatih pasukan kebangsaan pada tahun 1989 ke Sukan Sea di Kuala Lumpur dan atlet di bawah kendaliannya berjaya meraih empat pingat emas.

"Selain itu, beliau juga adalah ikon sukan lumba basikal kerana turut memainkan peranan dalam memimpin pelumba-pelumba muda, termasuk anak-anaknya yang turut menceburkan diri dalam sukan ini," ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Selain itu, menurut Pegawai Media Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Halmi Abd Samad, beliau baru saja bertemu dengan arwah pada Kejohanan Lumba Basikal Grand Prix Kebangsaan Pusingan Ke-4 di Petrajaya, Kuching, awal bulan ini.

“Ketika pertemuan baru-baru ini, arwah tiada menunjukkan sebarang perubahan. Namun beliau suka bergurau.

"Dalam gurauannya itu juga, beliau turut memberitahu sudah lama atlet basikal negara tidak pernah menang pingat emas pada Sukan Asia selepas kali terakhir dilakukan pada 1970,” katanya.

Pun begitu, belum sempat menyelitkan harapan untuk melihat pelumba negara meraih pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou, China yang akan membuka tirainya, Jumaat.

Namun belum pun sempat impian itu dilaksanakan, Allahyarham terlebih dahulu meninggalkan kita semua tanpa sebarang tanda.

Yang pasti, nama beliau akan menjadi lipatan sejarah sukan berbasikal negara.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Artikel Sebelum

Wilkins Tinggalkan Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain