suria

Azlan Iskandar Berhasrat Hadiahkan Emas Kepada Negara

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Mohamad Azlan Iskandar tetap akan beraksi dengan baik walaupun bertemu rakan senegara, Ong Beng Hee di perlawanan akhir Sukan Asia di Guangzhou, China bermula minggu depan dan yakin dapat membawa balik pingat emas buat negara.

Ini kerana Azlan dan Ong, yang masing-masing berada pada ranking ke-15 dan 18 dunia dijangka memiliki peluang cerah untuk berentap sesama sendiri di perlawanan akhir acara individu lelaki kerana kedua-duanya mendapat `bye' untuk ke saingan seterusnya.

"Saya tidak kisah siapa yang ke final nanti, tetapi hanya yang terbaik akan menang. Saya harap semua pemain negara dapat melangkah ke pusingan akhir dalam semua acara nanti.

"Bagaimanapun adalah lebih baik tumpuan diberikan pada pusingan awal terlebih dahulu daripada memikirkan soal perlawanan akhir," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan tajaan pakaian dan kit sukan dari Mizuno kepada pasukan skuasy ke Guangzhou di Stadium Skuasy Bukit Jalil di sin.

Azlan berkata Beng Hee merupakan pemain yang berpengalaman kerana pernah memenangi kejuaraan dua kali berturut-turut pada Sukan Asia di Busan (2002) dan Doha (2006) dan pastinya akan mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga.

"Saya tetap akan memberikan saingan kerana dalam gelanggang, saya dan Beng Hee adalah lawan tetapi di luar kami tetap bersahabat baik," katanya.

Namun saingan sengit tetap menanti Azlan yang juga pemegang pingat perak di Sukan Asia 2006 daripada pemain Pakistan seperti Aamir Atlas Khan (ke-23 dunia) dan Saurav Ghosal (25) dari India sebelum berpeluang melangkah kaki ke perlawanan akhir tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Christopher Brodie berkata penajaan bersama Mizuno merupakan yang pertama kali dibuat, dan berharap jenama itu akan terus menaja pasukan skuasy negara.

Seramai 12 pemain termasuk pegawai dan jurulatih skuad skuasy negara akan berlepas ke Guangzhou pada Selasa depan yang diketuai pengurus pasukan Peter Chee.

Selain Azlan dan Beng Hee, dua lagi pemain lelaki negara ialah Mohd Nafiizwan Mohd Adnan dan Ivan Yuen Chee Wern, manakala pemain wanita pula yang diketuai pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David terdiri daripada Low Wee Wern, Delia Arnold dan Sharon Wee.

Kejohanan tersebut akan bermula pada 18 Nov dimana pasukan wanita dletakkan dalam Kumpulan A bersama Korea dan Jepun manakala pasukan lelaki diletakkan dalam kumpulan B bersama India, Jepun, Korea, Qatar dan Arab Saudi. - BERNAMA

Artikel Lain