suria

Bertemu City Ukur Prestasi United

Ji Sung muncul penyelamat United ketika bertemu Wolves, Sabtu lalu.
 Ji Sung muncul penyelamat United ketika bertemu Wolves, Sabtu lalu.
Ji Sung muncul penyelamat United ketika bertemu Wolves, Sabtu lalu.

KEUPAYAAN skuad bimbingan pengurus Sir Alex Ferguson dalam mempertahankan rekod tanpa kalah pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini bakal teruji menjelang pertemuan sengit antara Manchester United dan jiran seterunya, Manchester City di Eastlands, awal pagi esok.

United yang terkenal dengan jolokan 'Red Devils' merupakan satu-satunya pasukan yang belum pernah mencatat kekalahan sepanjang 11 perlawanan musim ini.

Rekod tanpa kalah itu membabitkan enam kemenangan dan seri dalam lima perlawanan sekali gus membolehkan mereka menghuni tempat kedua senarai kedudukan terkini pasukan EPL dalam usaha untuk merampas kembali trofi yang pernah dimenangi pada musim 2008/2009.

Meskipun pincang tanpa beberapa tonggak utama, tuah tetap mengiringi United dalam kebanyakan perlawanan. Jaringan di saat akhir sedikit sebanyak mengubah nasib pasukan itu untuk menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas.

Ia terbukti pada minggu lalu apabila United nyaris dikecewakan Wolverhampton Wanderers tetapi pemain tengah Korea Selatan, Park Ji Sung bangkit menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Pasukan kendalian Mick McCarthy itu juga hampir berjaya menyekat kemaraan United pada aksi Piala Carling selepas mengikat kedudukan seri 2-2 sebelum Javier Hernández atau Chicharito (si kacang pea) menggegar gawang lawan pada minit ke-90.

Pertemuan di Craven Cottage Ogos lalu nyaris membawa episod duka buat Red Devils yang mendahului Fulham dengan 1-0 sebelum skuad bimbingan Mark Hughes itu bangkit mengikat kedudukan menerusi gol Brede Hangeland.

Kesilapan yang dilakukan Hangeland yang menanduk masuk gol ke gawang sendiri ibarat membuka ruang kepada United untuk mengukuhkan rekod tanpa kalah mereka. Namun, pemain pertahanan itu pantas menebus kembali kesilapannya dengan menyamakan kedudukan pada saat akhir.

Pertemuan awal pagi esok boleh dianggap pengukur prestasi United dalam mengharungi kempen musim ini.

Ketiadaan tonggak utama seperti Patrice Evra, Nemanja Vidic, Dimitar Berbatov dan Paul Scholes yang terkena jangkitan virus manakala Ryan Giggs dan Nani yang bergelut dengan kecederaan hamstring dan pangkal paha membuatkan Ferguson tidak senang duduk.

Perkhabaran buruk yang menyelubungi kompleks latihan Carringhton itu sebaik saja skuad Red Devils pulang dari Turki memaksa Ferguson menyadarkan tugas berat di bahu pemain mudanya di Eastlands.

"Kecederaan dan masalah kesihatan yang meruncing pada ketika ini sedikit sebanyak menjejaskan impian kami untuk memintas pendahulu liga, Chelsea. Kami kehilangan bisa pemain berpengalaman menjelang pertemuan penting ini," kata Ferguson.

Kehadiran pemain tengah Owen Hargreaves pada minggu lalu ternyata membawa berita gembira buat penyokong United. Namun tindakan Ferguson menurunkan bekas bintang Bayern Munich itu membawa kesan lebih buruk selepas beliau disahkan mengalami kecederaan hamstring yang memaksanya hanya sempat beraksi selama lima minit.

Kekurangan pemain senior dan berpengalaman tidak sedikit pun mengugat keyakinan Ferguson. Malah pengurus berusia 68 tahun itu tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemain muda dan membuatkan beliau berani melaungkan amaran kepada skuad bimbingan Roberto Mancini.

"Tiada apa yang lebih menggembirakan berbanding memenangi sesuatu perlawanan penting. Kemenangan yang dilakukan pada tahun bila dan di mana tiada nilai bandingannya," jelas pengurus dari Scotland itu.

Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu antara kedua-dua pasukan, United mencatat tiga kemenangan ke atas City termasuk dua dalam aksi EPL menerusi jaringan pada saat akhir dan saingan pusingan kedua separuh akhir Piala Carling di Old Trafford.

Ferguson mengakui kekuatan pemain yang dimiliki City pada ketika ini menjadikan laluan mereka untuk mengulangi kejayaan musim lalu lebih sukar.

"Bezanya kali ini, City memiliki ramai pemain hebat. Namun, agak sukar untuk membuat andaian sama ada mereka akan memenangi saingan ini. Di mata ramai pihak, menerima suntikan kewangan mewah lebih baik berbanding tidak memilikinya. Saingan masih lagi sengit dan City menyedari hakikat itu," tambahnya.

Melihat kepada prestasi semasa City, mereka kini menduduki tangga keempat berbekalkan 20 mata menerusi enam kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

Berbeza dengan City, kekalahan di tangan Lech Poznan di Stadium Miejski, Poland pada saingan Liga Europa minggu lalu mengembalikan semangat The Blues untuk mengutip tiga mata penuh apabila menundukkan West Bromwich Albion 2-0 hasil jaringan Mario Balotelli.

Namun penyerang kelahiran Itali itu tidak akan memperkuat jentera serangan City kelak kerana digantung tiga perlawanan selepas dilayangkan kad merah akibat melakukan terjahan kasar ke atas Youssouf Mulumbu pada minit ke-62.

Begitupun, City tiada masalah kecederaan serius dan penyerang Emmanuel Adebayor dilaporkan kembali berlatih selepas mengalami kecederaan betis. Ketiadaan Giggs dan Nani memberi ruang kepada Mancini untuk menurunkan bekas pemain United, Carlos Tevez dan David Silva untuk memperkukuh jentera serangan City.

Sementara itu, tahap kecergasan penyerang Wayne Rooney masih menimbulkan tanya tanya mengenai penampilannya bersama England ketika bertemu Perancis minggu depan.

"Dia hanya akan beraksi jika cergas sepenuhnya dan buat masa ini, dia masih belum berada pada tahap sebenar. Saya tidak tahu, siapa yang bakal diturunkan esok. Namun kami ada lima pemain berkelas dunia dengan hanya 30 perlawanan yang diharungi mereka dan masih berupaya mencatatkan kemenangan ke atas Wolves minggu lalu. Ia keputusan menakjubkan," katanya.

Sepanjang saingan musim ini, United belum pernah tewas dalam kesemua 24 perlawanan.

Artikel Lain