suria

Sukan Asia: Ayuni Mahu Kekal Konsistensi

Ayuni (kanan) dan Suryani bergambar bersama replika cek Shakam yang diterima, Rabu. Foto THE STAR/CHAN TAK KONG
Ayuni (kanan) dan Suryani bergambar bersama replika cek Shakam yang diterima, Rabu. Foto THE STAR/CHAN TAK KONG
Ayuni (kanan) dan Suryani bergambar bersama replika cek Shakam yang diterima, Rabu. Foto THE STAR/CHAN TAK KONG

KUALA LUMPUR: Penembak wanita negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi menjelang temasya Sukan Asia yang akan berlangsung di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November ini.

Sebaliknya, penembak kelahiran Pahang itu berazam untuk mengatasi rekod peribadi terbaiknya, 397 mata dalam acara 10m air rifle individu yang dilakukan pada Kejohanan Dunia di Jerman, tahun lalu.

"Ini adalah penampilan pertama saya di Sukan Asia. Insyallah saya akan cuba melakukan yang terbaik sama seperti di Sukan Komanwel dalam acara kegemaran iaitu 10m air rifle berpasukan," katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Pada Sukan Komanwel bulan lalu, Ayuni melakukan kejutan apabila memenangi pingat emas dalam acara 10m air rifle berpasangan dengan Nur Suryani Mohamed Taib manakala pingat perak menerusi kategori individu pada Sukan Komanwel di New Delhi.

Pencapaian cemerlang itu membolehkan beliau menerima insentif bernilai RM80,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Rabu.

Mengulas mengenai habuan lumayan itu, Ayuni mengakui ia memberi suntikan semangat kepadanya untuk mempamerkan persembahan konsisten dalam usaha memburu keputusan cemerlang pada Sukan Asia.

"Alhamdulillah, saya amat gembira menerima imbuhan ini setelah tidak dapat bercuti dan balik rumah. Pengorbanan yang saya lakukan selama ini berbaloi. Saya akan berusaha mempamerkan persembahan terbaik di Sukan Asia," ujarnya yang akan bertanding dalam acara individu dan berpasukan 10m air rifle serta 50m rifle tiga posisi.

Menurut Ayuni, cabaran di Sukan Asia lebih berliku memandangkan mereka akan bersaing sengit dengan atlet dari China, Jepun, Korea dan Thailand.

Beliau kini sedang menjalani latihan fasa akhir di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram) sebelum berlepas ke Guangzhou, Rabu depan.

Selain Ayuni, enam penembak kebangsaan turut menerima insentif keseluruhan berjumlah RM340,000, hasil kejayaan pasukan itu membawa pulang tiga emas, empat perak dan tiga gangsa pada Sukan Komanwel.

Artikel Sebelum

Artikel Lain