suria

Piala Malaysia:Penyokong Mati Akibat Sesak Nafas

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong pasukan Kelantan mati dipercayai akibat sesak nafas ketika bersesak keluar dari Stadium Shah Alam selepas tamat perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan, malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata mangsa yang dikenali sebagai Che Karma Sulaiman, 39, dari Bachok dan bekerja sebagai pegawai keselamatan, telah dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata mangsa yang duduk di Aras 5 stadium berkenaan, ditemui pasukan paramedik ketika mula mengalami sesak nafas, bagaimanapun mengatakan dia okay ketika ditanya mengenai keadaannya.

"Menurut rakannya, si mati pada mulanya mengalami sesak nafas ketika perlawanan berlangsung, namun, ketika ditanya sama ada okay atau tidak, dia kata okay.

"Namun keadaan mangsa semakin teruk ketika mahu keluar dari stadium selepas tamat perlawanan dan dia rebah ketika menghampiri gerai menjual cenderamata sebelum meninggal dunia," katanya kepada Bernama, Selasa.

Ketika itu, berlaku sedikit kekecohan di luar stadium sejurus tamat perlawanan selepas penyokong kedua-dua pasukan melakukan provokasi terhadap lawan masing-masing, namun berjaya disuraikan oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Noor Azam berkata setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan mengenai angkara vandalism terhadap kereta.

Sementara itu, beliau berkata seorang penyokong Selangor cedera di kepala dipercayai dibaling dengan objek.

Katanya, mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah.

Pada perlawanan suku akhir pertama itu, tuan rumah terikat tanpa jaringan dengan Kelantan, dan perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke 1V di Kota Baru, Sabtu ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain