suria

Sukan Komanwel: Prestasi Atlet Olahraga Negara Hambar - Pengurus Pasukan Melenting

NEW DELHI: Persembahan atlet olahraga negara yang mengecewakan pada temasya Sukan Komanwel di sini telah menyebabkan pengurus pasukan M. Iyaru begitu marah.

"Mereka tidak membuktikan kewajaran mereka di sini dan menunjukkan prestasi yang tidak dijangkakan sama sekali. Juga, mereka tidak memperbaiki catatan peribadi terbaik masing-masing," katanya kepada Bernama di sini.

Di kalangan 200 atlet dalam kontinjen Malaysia, hanya lima dari sukan olahraga, iaitu separuh daripada skuad olahraga Sri Lanka, menyertai acara trek dan balapan iaitu lompat tinggi, lompat bergalah, 20km jalan kaki dan 1,500m dan 800m.

Pada Sabtu lepas, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei hanya mampu melepasi ketinggian 2.23m berbanding catatan perbadi terbaiknya iaitu 2.27m yang dilakukan pada Kejohanan Terbuka China pada 2008.

Dua atlet jalan kaki, Lo Choon Siang dan Lim Teoh Boon, menampilkan persembahan buruk apabila Lo menduduki tangga kedua dari bawah diikuti Lim di tempat terakhir.

Sementara itu, pelari jarak sederhana, M. Vadivellan tersingkir pada peringkat saringan 800m dan gagal mengambil bahagian dalam acara 1,500m kerana mengalami kecederaan.

Selain empat atlet tersebut, ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu, dengan catatan peribadi terbaik 4.15m, akan turun ke gelanggang esok dengan berhadapan dengan atlet bertaraf dunia.

Tiga atlet Australia dalam acara lompat bergalah wanita mempunyai catatan 4.40m.

"Mungkin ia kerana kesan psikologi kerana bertanding pada peringkat tinggi. Kita perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan taraf prestasi atlet kita," kata Iyaru.

Semalam, Chef-de-Mission Tan sri Abdul Halil Abd Mutalif juga mengulas bahawa sudah tiba masa bagi Malaysia memberi lebih tumpuan kepada acara olahraga kerana prestasi atlet sukan itu semakin merosot di persada antarabangsa.

"Kita perlu mencungkil lebih ramai bakat baru... usaha perlu dilakukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aksi Atlet Malaysia Hari Ini

Artikel Lain

Ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia