suria

Pahang Beri Insentif Untuk Amirul Hamizan

KUANTAN: Kepulangan atlet angkat berat Amirul Hamizan Ibrahim ke tanah air akan disambut dengan berita gembira apabila kerajaan negeri Pahang akan memberi insentif kepada beliau yang memperolehi emas pertama negara dalam Sukan Komanwel 2010 di New Delhi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata insentif berbentuk wang yang jumlahnya masih belum diputuskan lagi akan diberikan kepada Amirul Hamizan di atas kecemerlangan anak kelahiran Rompin, Pahang itu.

"Tapi sudah tentu jumlah insentif yang akan diberikan itu nanti lebih daripada insentif yang atlet Sukan Malaysia (Sukma) dapat, kalau atlet Sukma dapat RM3,000 mungkin Amirul dapat RM5,000," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Malaysia menamatkan saingan hari pertama Sukan Komanwel 2010 dengan memperolehi pingat emas pertama menerusi Amirul Hamizan dalam acara angkat berat kategori 56 kilogram lelaki.

Wan Adnan berkata insentif itu bukan hanya diberikan kepada Amirul malah kepada semua atlet Pahang yang berjaya memengut pingat di New Delhi.

Wan Adnan sebelum itu turut menyampaikan insentif tambahan kemenangan sebanyak RM125,150 kepada atlet-atlet Pahang yang berjaya memungut pingat di Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka pada Jun lepas.

Katanya, insentif kemenangan kepada atlet yang berjaya memenangi pingat telah disampaikan sejurus berakhirnya setiap acara bagi setiap sukan di Sukma ke-13 dengan pingat emas sebanyak RM1,200, perak RM750 dan gangsa sebanyak RM500.

Katanya, turut diberikan ganjaran insentif kecemerlangan sebanyak RM500 seorang kepada jurulatih dan pengurus pasukan yang berjaya melatih atlet melepasi sasaran dan memenangi pingat emas.

Sementara itu, Pahang selaku tuan rumah Sukma ke-14 pada Jun 2012 meletakkan sasaran 50 pingat emas untuk muncul johan keseluruhan pada temasya itu nanti.

"Kita sasar jadi johan keseluruhan Sukma 2012 dan ini merupakan cabaran untuk atlet Pahang merealisasikannya dan kita tidak mahu kita malu selaku tuan rumah kita mendapat tempat yang kurang baik," katanya.

Dalam temasya Sukma ke-13 di Melaka Jun lepas kontinjen Pahang hanya mampu memungut 89 pingat iaitu 32 emas, 29 perak dan 28 gangsa yang berada di tempat kelapan daripada 15 kontinjen yang bertanding. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain