suria

Anugerah Bola Sepak Nasional Dijadualkan 2 November Ini

PETALING JAYA: Edisi ke-tiga Anugerah Bola Sepak Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)-100 Plus tahun ini dijadualkan berlangsung di Hotel PJ Hilton di sini pada 2 November ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata anugerah itu bukan sahaja bertujuan mengiktiraf kebolehan para pemain, tapi juga bertujuan memberi inspirasi kepada pemain-pemain muda untuk berusaha mengecap kejayaan sebagaimana yang pernah diraih pemain senior.

Beliau berkata persatuan negara sentiasa menghargai usaha oleh sektor swasta nutuk mempromosi dan menaja acara sukan bola sepak dalam negara, kerana sokongan semua pihak amat diperlukan dalam usaha membantu meningkatkan tahap sukan itu dalam negara.

"Beberapa pemain baru kelihatan menampilkan persembahan yang mantap, dan daripada apa yang saya lihat, tahun ini pasti ada kejutan," katanya kepada pemberita semasa melancarkan logo baru Anugerah Bola Sepak kebangsaan 100Plus-FAM, bersama Pengurus Hal Ehwal Korporat Nasionan, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Datuk Kamal Harun.

Katanya satu panel pemilihan diwujudkan bagi menyenaraikan calon-calon untuk anugerah itu bagi memastikan hanya yang terbaik diberi pertimbangan, dan anggota panel itu terdiri daripada jurulatih kebangsaan, anggota dari Persatuan Penulis-penulis Sukan (SAM) dan pegawai-pegawai FAM. Beliau berkata senarai calon itu kemudiannya akan diagihkan kepada jurulatih-jurulatih dan ketua pasukan yang bermain dalam Liga Super dan juga Liga Premier, yang kemudiannya akan membuat pilihan untuk pelbagai anugerah individu dan juga anugerah utama Pemain Paling Berharga.

Azzuddin berkata sebagai tambahan kepada anugerah utama, sembilan lagi anugerah yang terdiri daripada Penjaga Gol Terbaik, Pemain Pertahanan Terbaik, Pemain Midfield Terbaik, Pemain Penyerang Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Jurulatih Terbaik, Kelab Peminat Terbaik, Kelab Terbaik, dan Persatuan Bola Sepak Terbaik, akan turut disampaikan oleh Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu Kamal berkata majlis pelancaran logo rasmi hari ini adalah penting kerana ia menunjukkan bahawa 100Plus serius dalam perkara ini dan akan terus menyokongnya di tahun-tahun akan datang.

"Kami komited untuk bekerjasama dengan FAM bagi menyumbang kepada pembangunan bola sepak dalam negara," katanya.

Pemain Paling Berharga tahun ini akan membawa pulang RM3,000 dan sebuah trofi manakala lain-lain kategori akan membawa hadiah RM300 dan sebuah trofi.

Dalam edisi kedua tahun lepas pemain penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin memenangi anguerah Pemain Paling Berharga, manakala pada tahun 2008 anugerah itu menjadi milik penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain