suria

Atlet Malaysia Diingat Supaya Kekalkan Tumpuan

NEW DELHI: Chef-de-mission Tan Sri Abdul Halil Mutalib mahu atlet negara mengekalkan tumpuan mereka untuk kejayaan lebih cemerlang selepas memulakan persembahan yang baik dengan mengutip enam pingat pada Sukan Komanwel 2010 Delhi setakat ini.

"Setakat ini, mereka menunjukkan persembahan yang baik, kita dapat dua pingat emas, dua perak dan dua gangsa. Tapi, saya sering mengingatkan mereka supaya kekal fokus.

"Kita boleh melakukannya dengan lebih baik dua hari lepas hanya jika mereka memberi lebih tumpuan kepada pertandingan," katanya kepada Bernama. Beliau berkata pasukan angkat berat telah dapat melakukannya di luar jangkaan dengan memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Malaysia kini meletakkan harapan bagi satu lagi pingat daripada jaguh lumba basikal negara Mohd Azizulhasni Awang yang akan bersaing dalam acara keirin peringkat akhir lewat petang, Rabu. Kebanyakan atlet Malaysia kini dalam keadaan yang baik dan fikiran mereka tidak terganggu dengan beberapa masalah di perkampungan sukan sebelum ini, katanya.

Kira-kira 200 atlet negara mengambil bahagian dalam 14 acara bagi edisi ke-19 sukan itu di mana India menjadi penganjur buat pertama kali.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain