suria

Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Belia Dibuka Di Sabah, Sarawak Tahun Depan

KOTA KINABALU: Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) akan dibuka di Sabah dan Sarawak pada tahun depan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pembukaan pejabat itu akan memudahkan proses pendaftaran semua pertubuhan belia di kedua-dua negeri itu dan secara tidak langsung menyenangkan kementeriannya menyalurkan peruntukan dan bantuan untuk pembangunan belia.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga Jawatankuasa Bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), KBS negeri Sabah dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak, di sini, Isnin.

Katanya semua persatuan belia di kedua-dua negeri termasuk yang sudah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya mendaftar dengan ROY bagi membolehkan persatuan itu dikategorikan sebagai persatuan belia yang diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.

Mengikut peruntukan akta itu, hanya mereka yang berumur 15 hingga 40 tahun tergolong dalam takrifan "belia" yang layak menyertai mana-mana persatuan belia, katanya.

Mengenai kemelut yang melanda beberapa persatuan sukan di Sabah dan Sarawak, Shabery berkata mesyuarat itu mencadangkan supaya kuasa menteri pusat diperturunkan kepada menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal sukan dan belia di kedua-dua negeri berkenaan untuk menanganinya.

Beliau berkata dengan penurunan kuasa itu, menteri di peringkat negeri Sabah dan Sarawak mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan masalah itu termasuk menggantung keanggotaan persatuaan yang bermasalah.

Shabery berkata mengikut takrifan pejabat Peguam Negara, kuasa menteri yang dinyatakan dalam akta berkenaan adalah merujuk kepada menteri pusat (Menteri Belia dan Sukan), dan sekiranya kuasa itu tidak diperturunkan, terdapat kemungkinan perbalahan dalaman persatuan sukan itu akan berlarutan sehingga boleh menjejaskan pembangunan sukan di kedua-dua negeri berkenaan.

"Kalaulah kita pinda undang-undang sedia ada, banyak peraturan lain atau akta lain yang perlu dipindah untuk membolehkannya dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak, dan ia tidak akan menyelesaikan masalah.

"Maka pilihan yang terbaik ialah penurunan kuasa menteri pusat kepada menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal sukan di Sabah dan Sarawak," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain