suria

36 Jentera Rebut Gelaran Juara MMER 2010

ACARA kemuncak perlumbaan Merdeka Millennium Endurance Race (MMER) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, tengah malam tadi dihangatkan lagi dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010, Thanuja Ananthan dan penyanyi tempatan, Caprice.

Mereka bertindak melepaskan 36 jentera canggih seperti Lamborghini LP560, BMW Z4, Audi R8, Porsche RSR, Mosler, Lotus dan Aston Martin yang bertanding dalam edisi ke-11 perlumbaan lasak 12 jam tanpa henti ini.

"Saya sentiasa menggemari sukan pemotoran. Bapa saya merupakan peminat sukan ini dan dia sentiasa mengikut perkembangan perlumbaan di televisyen. Melepaskan sendiri perlumbaan itu adalah hari istimewa buat saya.

"Saya tidak pernah menyaksikan perlumbaan pada waktu malam dan menyebabkan saya ternanti-nanti acara kemuncak itu. Ia merupakan pengalaman menarik untuk saya," kata Thanuja.

"Perlumbaan kali ini lebih mencabar memandangkan beberapa perlumbaan dari negara lain turut mengambil bahagian. Ia turut menampilkan bakat tempatan dan antarabangsa untuk ditonton peminat-peminat sukan pemotoran," tambahnya.

Diadakan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan sejak 2000, perlumbaan kali ini menjanjikan saingan paling mencabar dalam sejarah MMER dengan kehadiran pemandu handalan yang pernah mencipta nama pada perlumbaan terkemuka dunia seperti perlumbaan 24 Jam LeMans, perlumbaan 24 Jam Nurburgring serta pelbagai siri kejuaraan utama dunia yang lain.

Perlumbaan tahun ini kembali kepada format asal iaitu acara kemuncaknya diadakan pada tengah malam buat pertama kalinya sejak 2006 untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan perlumbaan itu.

Saingan kali ini pastinya lebih mengujakan dengan penyertaan juara lima kali perlumbaan LeMans, Frank Biela, yang bergandingan dengan Marco Werner dan bekas juara perlumbaan Porsche Carrera Cup Asia, Daryl O’Young, yang juga juara keseluruhan MMER pada 2008.

Artikel Sebelum

Artikel Lain