suria

Fairuz Fauzy Yakin Penampilan Sulung MMER Buahkan Kejayaan

MEMBUAT penampilan sulung dalam perlumbaan Merdeka Millennium Endurance Race (MMER), pelumba negara Fairuz Fauzy (gambar) percaya beliau mempunyai gandingan sempurna untuk muncul juara pada edisi ke-11 saingan lasak 12 jam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bergandingan dengan adiknya, Farriz, yang juga bekas juara keseluruhan tahun 2004, dan rakan karib mereka, Rizal Ashram Ramli – seorang bekas pelumba Formula 3 British, Fairuz berkata segala persiapan mereka berjalan lancar dan jentera Aston Martin pacuan mereka mempamerkan prestasi memberangsangkan.

Bersaing dalam kelas Sports Production, Fairuz malahan mengakui turut mengintai peluang untuk mencabar pasukan yang bersaing kategori lebih tinggi dalam kelas GT untuk memenangai kejuaraan keseluruhan.

“Kami bukan saja berazam memasang cabaran kuat dalam kelas kami tetapi juga terhadap ‘abang-abang’ kami dalam kelas GT,” kata Fairuz ketika mengulas tentang pendekatan beliau dan pasukan MOFAZ Racing pada saingan MMER 2010.

Edisi ke-11 MMER akan bermula tengah malam ini di SIC dengan para pelumba dilepaskan oleh Ratu Malaysia Miss World Thanuja Anandthan.

Disertai oleh 36 kereta, ia akan berakhir pada jam 12 tengahari esok.

Pada sesi kelayakan semalam, MOFAZ Racing mencatat masa terpantas di kalangan mereka yang bertanding dalam kelas Sports Production. Secara keseluruhan, catatan gabungan masa 7 minit 8.56 saat itu, bagaimanapun, sekadar meletakkan mereka di petak ke 14 dalam grid permulaan.

Tiga belas tempat teratas diisi oleh jentera-jentera garang yang bersaing dalam kelas GT dengan petak pertama diisi oleh pasukan Porsche Club Singapore Racing, yang menggunakan jentera Porsche RSR. Mengiringi mereka di barisan pertama adalah pasukan Arrows Racing, yang menggunakan jentera Lamborghini LP560.

Menurut Fairuz, empat jam pertama saingan akan menjadi tempoh penting bagi semua pasukan dalam menentukan strategi dan beliau berharap semua pasukan akan melepasi tempoh berkenaan dengan baik tanpa masalah khususnya bagi pasukannya sendiri.

“Kalau anda tanya saya, saya harap semua 36 kereta akan dapat menamatkan perlumbaan sehingga kepada ‘chequered flag’. Itu pastinya amat menyeronokkan,” kata Fairuz, yang percaya pengurusan penggunaan tayar akan menjadi kunci kepada kejayaan pasukan tahun ini.

Untuk pertama kali dalam sejarah 11 tahun MMER, penganjur perlumbaan, Sepang International Circuit (SIC) memilih Pirelli sebagai pembekal tayar rasmi untuk saingan musim ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain