suria

Dengan Siapakah Bintang Baru Sikacang Pea Kecil Bakal Digandingkan...

"Dia tidak minum walau setitik alkohol pun, dia tidak merokok, tidak berpesta dalam parti liar, dia tidak makan sebarangan...dia menjaga dietnya." Itulah kata-kata daripada datuk pemain terbaru dan sensasi Manchester United (Man Utd) Javier Hernandez atau lebih dikenali dengan gelaran "sikacang pea kecil".

Toman Balcazar, datuk kepada pemain itu menceritakan Hernandez mendapat jolokan sikacang pea kecil kerana ayahnya juga seorang pemain bolasepak Mexico digelar "sikacang pea" kerana memiliki mata berwarna hijau seumpama warna kacang tersebut.

Dia diberi jolokan itu kerana amat jarang sekali orang Mexico memiliki sepasang mata berwarna hijau. Jadi oleh kerana sibapa mendapat gelarang "sikacang pea" maka anaknya Javier pula digelar "sikacang pea kecil."

Bintang baru Man Utd yang menyerlah ketika kejohanan Piala Dunia di Afrika Selatan yang baru sahaja selesai bulan lalu dibeli pada harga yang sangat murah iaitu sekitar 7 juta pound sterling sahaja.

Tetapi para penganalisis berpendapat, Man Utd sangat beruntung kerana mereka pantas mengikat Hernandez sejurus sebelum Piala Dunia bermula kerana jika mereka membelinya selepas dia mencipta nama dengan jaringan dua gol cantik di kejohanan itu, sudah pasti mereka tidak akan memperolehinya dengan harga itu.

Menurut Balcazar, cucunya itu akan mencipta nama di Man Utd kerana dia seorang yang sangat-sangat berdisiplin dan tidak pernah ditangkap atau dilihat melakukan sesuatu yang liar atau menjejaskan reputasinya sebagai pemain bolasepak profesional.

Reputasi itulah yang menarik perhatian Sir Alex Ferguson yang terkenal sebagai seorang "disciplinarian" tegar.

Kini Hernandez yang mahu namanya di belakang jersi ditulis "Chicharito" yang bermaksud "sikacang pea kecil" telahpun dipuja di negaranya sendiri sebagai "Wayne Rooney Mexico". Poster gergasi Hernandez terpampang di merata-rata khususnya di kedai Nike.

Dan baru-baru kehadirannya di Kedai Nike Guadalajara untuk menandatangani autograf telah menyebabkan jalan utama di bandar itu sesak selama berjam-jam.

Mereka melihatnya sebagai adiwira baru dengan kata-kata "masa depan negara ini kini di kaki Chicharito."

Manakan tidak. Dengan imej bersih dan bebas daripada sebarang skandal tidak sepertimana pemain-pemain profesional yang lain, Hernandez dilihat sebagai idola yang sempurna untuk dijadikan contoh oleh rakyat negara itu yang rata-ratanya miskin. Dia dilihat sebagai sumber inspirasi yang akan membawa Mexico ke arah kecemerlangan dan kesenangan.

Dan Hernandez tidak menghampakan para peminat barunya dan kelab barunya di Old Trafford apabila dia menjaringkan gol dalam aksi sulungnya bersama kelab itu dalam siri jelajah Amerika Utara baru-baru ini.

Semalam dalam satu lagi perlawanan persahabatan, Hernandez yang digandingkan dengan Michel Owen turut menjaringkan satu gol.

Kini semua ternanti-nanti, dengan siapakah dia bakal digandingkan. Dengan Rooney kah atau Owen kah? Bagaimana pula dengan Berbatov, Macheda, Nani, Antonio Valencia yang kesemuanya pemain sayap yang cenderung naik ke atas dan menyerang?

Barisan serangan United musim ini sudah pastinya akan menjadi lebih menarik dengan kehadiran seorang lagi bintang baru yang pada pandangan ramai orang termasuklah Alex Ferguson memiliki gaya permainan mirip Rooney. Maka bolehkah dua pemain dengan gaya permainan yang sama digandingkan bersama.

Kita sama-sama akan dapat saksikan apabila Man Utd bertemu Chelsea dalam pembuka tirai EPL Ahad ini dalam perlawanan Piala Sumbangsih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain