suria

Perenang Veteran, Azizan Sasar Gelaran 'Iron Man' Master Asia

KANGAR: Perenang veteran, Azizan Ali yang mencatatkan rekod berenang secara solo tanpa sangkar dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 51km dua tahun lalu, kini menyasarkan gelaran "Iron Man" pada kejohanan olahraga Master Asia di Kuala Lumpur Disember ini.

Pesara guru berusia 63 tahun itu yang pernah melakukan renangan jarak jauh di Terusan Arau secara ulang-alik sejauh 50km sebelum ini, berkata beliau kini giat berlatih sebagai persediaan untuk memburu gelaran "Iron Man" atau "Orang Besi.

Ketika ditemui Bernama di sini Isnin, katanya kejohanan lima hari dari 6 Dis itu pasti sengit kerana akan disertai peserta antaranya dari Jepun, India, China, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Katanya beliau pernah menyertai kejohanan dua tahun sekali itu di Jakarta, Korea Selatan dan India dengan rekod terbaiknya sebagai naib johan di Korea Selatan pada 1995 apabila tewas kepada peserta Jepun.

Beliau mensasarkan gelaran juara apabila beraksi di negara sendiri nanti.

Katanya kejohanan itu membabitkan 10 acara dan lima daripadanya ialah acara balapan iaitu lari 100 meter, 110 meter lari berpagar, lari 200 meter, lari 400 meter dan lari 1,500 meter.

Lima lagi acara membabitkan acara padang iaitu lompat galah, lompat tinggi, lontar cakera, lontar peluru dan merejam lembing, katanya.

Kejohanan tersebut membabitkan kategori peserta peringkat umur 35-40 tahun, 41-45 tahun, 46-50 tahun, 51-55 tahun, 56-60 tahun, 60-70 tahun dan 70-80 tahun.

Beliau yang akan menyertai kategori umur 60-70 tahun kini menjalani latihan secara persendirian tiga kali seminggu di Stadium Utama di sini dan berjoging pada sebelah petang sementara menunggu program latihan pusat di bawah pengendalian jurulatih khas.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah melupakan hasratnya berenang merentasi Selat Inggeris, Azizan berkata jika dipanjangkan usia dan mempunyai penaja, beliau akan meneruskan hasratnya itu.

Tahun lalu, beliau dijadual melakukan renangan merentasi Selat Inggeris tetapi hasrat itu terhalang kerana beberapa faktor termasuk mendapatkan penaja kerana kos yang diperlukan untuk renangan itu kira-kira RM110,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain