suria

Steel Sasar Kejohanan Selangor Masters Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara Iain Steel berhasrat mendapatkan semula sentuhan kejayaannya dalam siri Jelajah Asia apabila beraksi pada Kejohanan Golf Selangor Masters Worldwide Holdings, bulan depan.

Menurut kenyataan Jelajah Asia pada Selasa Steel, 39, mempunyai pencapaian memberangsangkan dalam pertandingan bernilai RM1.2 juta itu dengan muncul antara 10 pemain terbaik dalam dua edisi sebelum ini.

Selepas gagal melepasi kelayakan dalam tujuh kejohanan dalam siri Jelajah Asia musim ini, anak kelahiran Sabah itu, berjaya mengubah nasib malangnya dengan berkongsi kedudukan tangga ke-10 pada Piala Ratu di Thailand baru-baru ini dan kemudian tempat ketiga pada Kejohanan Klasik CIMB Asia Pasifik, Malaysia.

Steel mendedahkan bahawa kebangkitan semula tahap prestasinya adalah disebabkan beliau mendapat bantuan ahli psikologi sukan, Dr Dan Bowman di Amerika Syarikat dan latihan tambahan dengan jurulatih bidang ayunan, Neil Thompson.

"Saya bekerja bersama dengan Dr Bowman sejak April lalu dan melakukan latihan tambahan dengan jurulatih Thompson di mana dia mengasah ayunan golf saya.

"Sesi latihan tersebut membantu mengelak saya daripada bertindak emosi dan berfikiran negatif semasa di lapangan," katanya.

Pencapaian terbaik Steel pada Selangor Masters adalah tempat ketiga pada edisi 2008.

Kejohanan kali ini akan berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, Damansara Indah, Kota Damansara, Petaling Jaya, dari 4 hingga 7 Ogos ini.

Steel mengakui lapangan di kelab itu adalah mencabar sekali dengan bentuk yang mengelirukan tetapi ianya sesuai dengan gaya permainannya.

Antara pemain yang dijangka beraksi ialah pemain utama negara, Danny Chia dan Shaaban Hussin, naib juara tahun lepas, Kiradech Aphibarnrat dari Thailand, pemain Singapura Lim Chih Bing dan bintang baru Gaganjeet Bhullar dari India. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain