suria

ASG Semai Semangat ASEAN Di Kalangan Remaja

KUALA LUMPUR: Penganjuran Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) berjaya menyemai semangat Asean di kalangan atlet muda rantau ini, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata temasya sukan terbukti menjadi mekanisma paling berkesan untuk memupuk perpaduan dan berupaya mengatasi halangan kenegaraan, politik dan sosial.

"Anda semua mengesahkan lagi kenyataan bahawa temasya sukan adalah bahasa universal yang boleh mengatasi apa jua perbezaan. Tahniah, anda dapat menghayati erti sebenar semangat Asean," katanya pada majlis penutupan ASG di sini, Isnin.

Katanya ASG merupakan arena penting yang dapat menyediakan peluang kepada para pelajar untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Pada majlis itu Wee menyampaikan bendera kejohanan kepada Chef-de-Mission Singapura Lim Lai Chuan.

Singapura akan menjadi tuan rumah kepada ASG tahun depan.

Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan ASG tahun ini selepas meraih 46 pingat emas manakala Thailand menduduki tempat kedua dengan 32 pingat emas dalam kejohanan yang menawarkan 106 pingat emas itu.

Kira-kira 1,300 atlet dan pegawai dari tujuh negara Asean yang terdiri daripada Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam mengambil bahagian dalam 11 acara yang dipertandingkan dalam temasya sukan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain