suria

Malaysia Yakin Jumpa Thailand Di Final

PUTRAJAYA: Malaysia yakin akan bertemu semula Thailand pada perlawanan akhir sepak takraw Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (AGS) meskipun tewas pada perlawanan peringkat kumpulan menentang pasukan itu semalam.

Penolong pengurus pasukan Razuki Abdul Rahim berkata pihaknya akan menyusun semula tiga regu negara supaya setiap regu lebih seimbang dan mampu memberi saingan yang lebih hebat.

"Kita akan bertemu mereka lagi pada perlawanan akhir. Yang penting pasukan kita menunjukkan teamwork yang baik walaupun mereka berasal dari berlainan negeri," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan.

Regu pertama negara yang diwakili tekong Muhammad Zulkifli Abdul Razak, Muhammad Aiman Fouzi dan Norhazwan Nafiram memberi harapan kepada pasukan Malaysia apabila menang 21-8, 21-13 ke atas regu Thailand; Nattapon Kraiwan, Yuwapong Pamon dan Thanawut Song Tuan pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun, regu kedua dan ketiga musuh tradisi negara dalam permainan sepak takraw itu, nyata terlalu handal buat pemain Malaysia.

Regu kedua yang terdiri daripada Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi, Putera Aidil Israfil Kamaruzaman dan Muhamad Suhairi Sulaiman kecundang di tangan trio Thailand, Purached Yodsan, Panupong Petlue dan Treepong Rawangpai 5-21, 10-21.

Gandingan Muhammad Farid Abdul Aziz, Mohd Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Mohd Nazri Hafiz Mohd Najib pula tewas mudah 8-21, 6-21, di tangan regu ketiga Thailand Santisuk Ngoenkongpang, Nopanum Jitjak dan Pichit Pansan.

Terdahulu, pada perlawanan peringkat kumpulan, Malaysia menundukkan ketiga-tiga regu dari Filipina. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain