suria

10 Pelumba Rebut Satu Slot Wild Card

PETALING JAYA: Melihat kepada keberkesanan program wildcard yang dilakukan buat pertama kalinya pada Grand Prix MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tahun lalu, program itu akan diteruskan menjelang kemuncak perlumbaan motosikal dunia di gelanggang sendiri, Oktober ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali (gambar), berbeza dengan tahun lalu program kali ini akan diterajui oleh Two Wheels Motor Racing (TWMR) manakala mereka hanya berperanan sebagai rakan teknikal.

"Setakat ini, TWMR masih dalam proses merangka keseluruhan program. Kami mempunyai tempoh selama dua bulan untuk memilih pelumba dan melatih mereka setiap hari," katanya ditemui pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media di One World Hotel, sebentar tadi.

Razlan berkata, mereka telah mengenal pasti 10 pelumba daripada saingan Cub Prix dan pemilihan akan dibuat menggunakan kaedah menyerupai pemilihan Zulfahmi Khairuddin, pelumba negara yang kini berentap dalam perlumbaan MotoGP 125cc.

Beliau merupakan pelumba yang lahir daripada program wild card dan menunjukkan peningkatan dengan menduduki tempat ke-15 sekali gus mengumpul mata pertama di Litar Catalunya, Sepanyol awal bulan ini.

"Sebaik saja kita menganalisa kaedah pemilihan Fahmi, ia berjaya. Dia dulu pun berentap dalam saingan Cup Prix. Jadi kita tidak perlu menggunakan cara pemilihan tradisional kerana mereka sudah ada pengalaman berlumba di litar dan skil masing-masing," ujarnya.

Daripada 10 pelumba yang sudah dikenal pasti, hanya seorang akan terpilih untuk mengisi satu slot wild card dalam Grand Prix MotoGP Malaysia dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Katanya, mereka kini belum menemui calon pilihan dan memberitahu pelumba yang terpilih mestilah berusia 18 tahun ke bawah.

"Jika pelumba itu mempamerkan aksi cemerlang pada program wild card nanti, kita akan hantar dia menyertai perlumbaan pusingan akhir Spanish Road Racing Championship (CEV) di Valencia pada November ini," jelasnya.

Namun keputusan akhir bagi pelumba yang terpilih dalam program wild card itu untuk mengikut jejak langkah Fahmi akan dibuat dengan mengambil kira pencapaiannya di Valencia.

Sudah pastinya tumpuan lebih diberikan kepada Zulfahmi yang akan berlumba dalam saingan MotoGP buat pertama kalinya di hadapan penonton sendiri.

"Untuk Fahmi, kita mahu melihat dia mengisi kedudukan 15 teratas di Malaysia. Namun kita juga mengharapkan pelumba yang terpilih dalam program wild card itu akan melayakkan diri pada perlumbaan ini kelak," tambahnya sebelum mengakhiri perbualan.

Artikel Sebelum

Silva Kini Milik City

Artikel Berikut

Artikel Lain