suria

Atlet ASG Diseru Saling Pelajari Budaya

BANGI: Semua atlet yang menyertai temasya Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) diseru supaya saling mempelajari adat resam dan budaya masing-masing sepanjang dua minggu berada di Perkampungan ASG di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pelajar Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata para atlet juga patut mengambil peluang untuk mempelajari kekuatan dan kemahiran yang ada pada rakan-rakan kontinjen lain, di samping mengeratkan silaturrahim.

"Kerjasama melalui aktiviti sukan seperti ini (ASG) akan menguatkan lagi hubungan sedia ada antara negara-negara Asean dan ia akan berterusan melalui generasi muda," katanya semasa merasmikan pembukaan Perkampungan ASG di Kolej Pendeta Za'ba, UKM, petang tadi.

Seramai 1,302 atlet dan pegawai dari tujuh negara Asean iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia mendaftar diri di perkampungan tersebut.

Kejohanan ASG Kedua, yang akan bermula esok sehingga 21 Julai ini, menawarkan 106 pingat emas.

Sebelas acara sukan dipertandingkan termasuk badminton, gimnastik, bola keranjang, golf, hoki, bola jaring, gimrama, sepak takraw, renang, olahraga dan bola tampar yang akan berlangsung venue di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan pembukaan ASG esok di Stadium Bola Sepak, Cheras, Kuala Lumpur.

Kejohanan ASG kali pertama diadakan di Thailand tahun lepas, di mana Malaysia tidak mengambil bahagian ekoran penyebaran wabak influenza A (H1N1). - BERNAMA

Artikel Berikut

Azlan Temui Cinta Baru

Artikel Lain