suria

Iran Juara Kejohanan Hoki Tertutup Piala Sultan Azlan Shah 2010

Pasukan Iran meraikan kejayaan menewaskan Malaysia dengan mata 3-2 pada perlawanan akhir semalam. - Foto BERNAMA
Pasukan Iran meraikan kejayaan menewaskan Malaysia dengan mata 3-2 pada perlawanan akhir semalam. - Foto BERNAMA
Pasukan Iran meraikan kejayaan menewaskan Malaysia dengan mata 3-2 pada perlawanan akhir semalam. - Foto BERNAMA

IPOH: Iran mengekalkan kejuaraan kali ketiga berturut-turut dalam Kejohanan Hoki Tertutup Piala Sultan Azlan Shah setelah menewaskan pasukan Malaysia 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini petang, semalam.

Iran yang turun sebagai pasukan pilihan bermain dengan agak teratur tetapi serangan yang dilakukan dikekang skuad negara yang diketuai S. Kuhan.

Skuad negara berjaya mendahului 1-0 setelah Kuhan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-4 tetapi berjaya disamakan Mohd Mehdi Malek Ahmadi pada minit ke-12.

Malaysia terus menggandakan asakan selepas itu tetapi pukulan sudut penalti yang diperolehi pada minit ke-17 dan 18 gagal dimanfaatkan dan keputusan kekal 1-1 sehingga tamat babak pertama.

Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan menggandakan asakan dan gol jaringan Norouzzadeh Reza pada minit ke-30 berjaya meletakkan Iran di depan dengan 2-1.

Pada minit ke-37, giliran Abbasi Reza menjaringkan gol meletakkan Iran terus di depan dengan jaringan 3-1.

Malaysia terus menggandakan serangan selepas itu dan berjaya memperolehi dua pukulan sudut penalti yang kemudiannya disempurnakan S. Kuhan pada minit ke-39 dan merapatkan jurang gol 3-2.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat masa permainan.

Dalam satu lagi perlawanan hari ini Uzbekistan menewaskan Pakitan 2-0 untuk menduduki tempat ketiga.

Sementara itu, kapten Malaysia, S. Kuhan telah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan dan Penjaga Gol Uzbekistan, Askarov Marsel pula terpilih sebagai Penjaga Gol Terbaik.

Penjaring Terbanyak pula dimenangi pemain Iran, Norouzzadeh Reza dan Kapten Iran, Mohd Mehdi Malek Ahmadi dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Piala Fairplay pula dianugerahkan kepada pasukan Kazakhstan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Chong Wei Terus Unggul

Artikel Lain