suria

Royal Johor Polo Club Juara Royal Pahang Classic 2010

PEKAN: Royal Johor Polo Club 1 (RJPC 1) dinobat sebagai juara baru Royal Pahang Classic 2010 selepas mengalahkan pasukan tuan rumah, Royal Pahang 1 dengan kemenangan tipis 6-5 pada perlawanan akhir Kejohanan Polo Pahang Classic 2010 di Arena Polo, Pekan di sini pada Sabtu.

Pada perlawanan akhir itu, Royal Pahang 1 yang beraksi di gelanggang sendiri diketuai Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, diperkuat tiga pemain profesional dari Argentina, Emelio Del Campo, Gaston Moore dan Rafael Silva.

RJPC 1 membariskan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, Sofyan Rashid serta dua pemain profesional dari Argentina, Santiago Cernadas dan Raul Laplacette.

Sebaik memulakan permainan chukka pertama, RJPC 1 tampak garang apabila bola lontaran pengadil dari tengah padang berjaya disambar, Raul Laplacette sekaligus melepasi benteng Royal Pahang sebelum merembat masuk gol pertama pada minit pertama perlawanan.

Cernadas menyumbang gol kedua RJPC 1 pada minit akhir chukka pertama untuk membolehkan pasukannya mendahului Royal Pahang 2-0.

Tuan rumah bangkit seawal chukka kedua apabila Tengku Abdullah tidak mensia-siakan hantaran Gastor Moore untuk merebat masuk bola ke gawang lawan dari jarak 20 meter.

Namun, Raul Laplacette yang pernah menyarung jersi Royal Pahang 1 bagaikan menyentap semangat tuan rumah apabila pemain memiliki enam handicap peribadi itu berjaya menambah dua gol menerusi gol padang pada akhir chukka kedua, menjadikan RJPC 1 mendahului 4-1.

Pada chukka ketiga, Royal Pahang 1 merapatkan jurang gol apabila Rafael Silva memanfaatkan dua pukulan penalti dari jarak 40 dan 60 meter dari pintu gol RJPC 1.

Babak akhir menyaksikan persaingan sengit setelah Royal Pahang 1 berjaya menyamakan kedudukan 4-4 menerusi Tengku Rohanim Tengku Abdul Hamid yang masuk menggantikan Tengku Abdullah.

RJPC 1 kembali mendahului 5-4 seminit selepas jaringan Tengku Rohanim dan Royal Pahang 1 tangkas menyamakan kedudukan 5-5 ketika permainan berbaki satu minit untuk mengheret perlawanan ke chukka tambahan.

RJPC 1 dihadiahkan pukulan penalti dari jarak 40 meter dari gawang gol Royal Pahang 1 dalam masa kecederaan dan Laplacette yang mengambil pukulan penalti tidak mensia-siakan peluang bagi RJPC 1 mencatat kemenangan 6-5. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain