suria

Malaysia Yakin Kemampuan India Siapkan Semua Kemudahan Sukan Komanwel

NEW DELHI: Dengan tempoh tinggal kira-kira 200 hari sebelum Sukan Komanwel ke-19 di Delhi bermula, Malaysia menyuarakan keyakinan dengan kemampuan India menyiapkan semua projek pembinaan infrastruktur yang diperlukan sebelum temasya sukan itu bermula.

Chef-de-Mission Malaysia ke acara sukan itu Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalif berkata beliau melihat usaha keras sedang digerakkan di India ketika ini bagi menyiapkan semua kemudahan yang diperlukan, sebelum temasya sukan itu bermula dari 3 hingga 14 Oktober ini.

"Beberapa venue dan perkampungan sukan masih belum disiapkan, tapi saya yakin mereka (India) dapat menyiapkannya sebelum temasya bermula kerana mereka mempunyai sumber dan tenaga kerja yang mencukupi.

"Mungkin India setanding, atau mungkin mereka dapat tampilkan hasil lebih baik berbanding temasya Sukan Komanwel sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Beliau merupakan salah seorang daripada 71 perwakilan dari negara-negara Komanwel yang menghadiri seminar Chef-de-Mission bagi sukan Komanwel Delhi di ibu negara India, di mana penganjur memberi taklimat kepada delegasi mengenai tahap semasa persediaan dan perancangan keselamatan.

Semasa ditanya sekiranya pemerhati Malaysia berpuas hati dengan tahap persediaan keselamatan beliau berkata, India memberikan keutamaan terhadap aspek keselamatan bagi memastikan temasya sukan itu berjalan dengan lancar.

"India sedang melakukan yang terbaik dan mengambil pelbagai langkah yang cukup rapi bagi menjamin keselamatan semua atlet dan pegawai," katanya.

Kira-kira 170 atlet negara dijangka mengambil bahagian dalam Sukan Komanwel nanti, di mana Malaysia mensasarkan untuk memungut sekurang-kurangnya 10 pingat emas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain