suria

Proton Mahu Bekerjasama Dengan Lotus F1 Racing

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton berminat untuk menganjurkan program bersama dengan pasukan Lotus F1 Racing mulai musim depan sebagai tanda sokongan terhadap pasukan F1 Malaysia itu.

Pengarah Urusan Proton Holdings Berhad, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, mulai 2010, pihaknya bercadang untuk menganjurkan beberapa program yang melibatkan tiga pelumba F1 negara iaitu Mohamed Fairuz Mohamed Fauzy, Jarno Trulli dan Heikki Kovalainen.

"Saya harap, selepas ini Proton dapat mewujudkan lebih banyak kerjasama dengan pasukan Lotus F1 Racing dalam samasama membangunkan sukan pemotoran dalam negara," katanya selepas menerima kunjungan pemandu pasukan F1 Lotus F1 Racing di Pusat Kecemerlangan Proton dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai pengeluar kereta nasional adalah wajar bagi Proton untuk mengadakan program bersama untuk menyokong usaha memantapkan lagi nama pasukan F1 Malaysia yang baru ditubuhkan itu.

"Diharapkan program yang bakal diadakan nanti turut membantu melariskan lagi penjualan kereta nasional," katanya.

Syed Zainal berkata, pihaknya juga ingin melihat lebih banyak peluang dapat dikongsi bersama antara Proton dan pasukan F1 Lotus F1 Racing pada masa hadapan.

Pemandu pasukan Lotus F1 Racing yang diuruskan oleh 1Malaysia Racing Team (1MRT) Sdn Bhd diumumkan semalam manakala penubuhan pasukan itu diumumkan oleh Perdana Menteri September lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain