suria

Corat-Coret Sukan SEA Ke-25 Di Laos, Vientiane

VIENTIANE: Berikut ialah beberapa corat-coret sepanjang Sukan SEA ke25 yang berlangsung di sini dari 9 hingga 18 Disember:

PENYOKONG TIBA AWAL

Penyokong pasukan tuan rumah tiba awal seawal pukul 3 petang (waktu tempatan) untuk menyaksikan perlawanan bersejarah antara pasukan Laos menentang Malaysia di Stadium Nasional, Kompleks Sukan Nasional di sini.

Sementara menunggu perlawanan separuh akhir itu bermula, ada di antara mereka menggunakan peluang menyaksikan acara olahraga yang diadakan di stadium yang sama.

Semuanya datang dengan mengenakan baju-T yang tertera perkataan Lao, "Go Lao" dan bendera negara Laos.

"MALAYSIA BOLEH, LAO WIN TONIGHT"

Peluang berada dalam kawasan Kompleks Sukan Nasional di sini membolehkan wartawan-wartawan Malaysia bertembung dengan pelbagai aksi peminat sukan tempatan.

Di kalangan mereka, sudah tentunya memberi sorakan kepada atlet-atlet tuan rumah, namun terdengar juga laungan yang tidak tahu sama ada menyindir atau tidak. Wartawan Malaysia disapa penyokong tuan rumah dengan sorakan "Malaysia Boleh! Malaysia Boleh! Lao win tonight!"

ATLET TERJUN CURI TUMPUAN

Atlet terjun negara mencuri tumpuan penonton dan juga sukarelawan di Kolam Renang Kompleks Sukan Nasional untuk bergambar kenangan.

Kehebatan atlet-atlet Malaysia dalam acara terjun mendapat perhatian penonton setiap kali mereka beraksi.

Setiap kali selepas tamat saingan di kolam renang berkenaan, para penonton dan sukarelawan menggunakan kesempatan itu untuk bergambar kenangkenangan bersama penerjun Malaysia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain