suria

Pasukan Bola Sepak bawah 15 sasar kejuaraan di ASFF ke-4

KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak bawah 15 tahun negara meletakkan sasaran untuk muncul juara di Kejohanan Bola Sepak SekolahSekolah Asia(ASFF)ke-4 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah mulai Isnin ini hingga 20 Ogos ini.

Ketua jurulatih pasukan itu, Zulakbal Abd Karim yakin anak buahnya telah bersedia daripada segi fizikal dan mental walaupun latihan mereka terganggu apabila empat daripada mereka sebelum ini dikuarantin setelah disyaki dijangkiti Influenza A (H1N1).

Beliau berkata hanya seorang pemain yang masih belum dibenarkan menyertai latihan, manakala yang lain mula menyertai latihan hari ini.

"Dua puluh pemain yang bakal mewakili negara ke kejohanan ini dipilih melalui satu mesyuarat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dua minggu lalu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara oleh Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata barisan pemain yang sama akan turut beraksi di kelayakan Piala Dunia Remaja di Canberra, Australia Oktober ini. Sementara itu, Alimuddin dalam ucapannya mencabar pasukan bawah 15 tahun negara untuk beraksi cemerlang memandangkan Malaysia adalah tuan rumah pesta sukan itu tahun ini, dan berharap para pemain tidak mengecewakan para penyokong tempatan.

"Peluang bermain di tempat sendiri harus digunakan dengan sebaik mungkin bagi membaiki pencapaian terbaik negara" katanya kepada pasukan negara yang menduduki tempat ketiga pada kejohanan tahun lepas di Bangkok, Thailand.

Pada kejohanan kali ini pasukan negara diletak dalam kumpulan B bersamasama Thailand, Indonesia dan Macau.

Sementara kumpulan A diwakili China, Vietnam, Sri Lanka, Singapura, dan Brunei.

Filipina yang diletakkan dalam kumpulan A menarik diri daripada kejohanan itu. Perlawanan pertama pasukan negara ialah pada Khamis depan menentang Indonesia di Stadium Likas, Sabah.

BARISAN PEMAIN BAWAH 15:

Nur Areff Kamaruddin, Mohd Ashmawi Md Yakin, Muhamad Yazid Zaini, Muhammad Syazwan Tajudin, Mohd Izdihar Qaedi Jidi, Muhammad Ridzuan Abdullah, Nik Shafiq Shazwan Nik Min, Muhammad Hanif Mat Dzahir, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Muhamad Akmal Ishak, Mohd Azizan Nordin, Mohamad Firdaus Muhamad, Muhammad Shaaban Roslan, Mohd Norhamizaref Hamid, Muhammad Rijal Fikry Yusoff, Syed Ahmad Syahirul Hakim Syed Sulaiman, Muhamad Ilham Amirullah Razali, Muhammad Ammar Abdul Aziz, Muhammad Nizam Muhd Ruslan, Faiz Mohd Bandong BERNAMA

Artikel Lain