suria

Mini Olimpik: Bryan, Pandalel dominasi acara 10 meter platform

KUALA LUMPUR: Penerjun kebangsaan, Bryan Nickson Lomas dan Pandalela Rinong masing-masing mempamerkan aksi konsisten untuk meraih pingat emas acara 10 meter platform individu di Kejohanan Mini Olimpik yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Kedua-dua mereka menggunakan tahap kesukaran yang dilakukan semasa menyertai Kejohanan Dunia di Rome bulan lepas.

"Saya berpuas hati dengan persembahan saya hari ini. Boleh dikatakan ia lebih baik daripada persembahan saya di Rome.

"Kejohanan ini adalah antara latihan persediaan saya bagi menghadapi Temasya Sukan Perpaduan Islam," kata Bryan.

Penerjun berusia 19 tahun dari Kuching, Sarawak itu berkata beliau sememangnya mensasarkan untuk meraih pingat emas dalam acara kegemarannya itu pada temasya Mini Olimpik, di samping memperkemaskan teknik terjunan sedia ada.

Katanya, dalam tempoh latihan menghadapi Temasya Sukan Perpaduan Islam di Tehran, Iran, yang dijadualkan pada bulan Oktober dan Sukan SEA Laos pada Disember, jurulatihnya mungkin akan memperkenalkan beberapa tahap kesukaran yang baru.

Sementara itu, Pandalela pula mengakui berlaku sedikit kesilapan pada teknik terjunannya pada hari ini tetapi ia sedikit pun tidak kecewa dengan pencapaian keseluruhannya.

"Markah yang saya dapat semasa di Rome lebih baik berbanding markah hari ini tetapi saya tidak kecewa. Sebabnya, tidak semua orang dapat lakukan yang terbaik, ada kala orang akan buat silap juga," kata penerjun berusia 15 tahun itu ketika ditemui pemberita.

Pada acara 10m platform individu wanita hari ini, Pandalela mengumpul 344.55 mata daripada lima terjunan berbanding 354.45 mata yang membolehkan beliau berada di tangga kelima Kejohanan Dunia pada 20 Julai lepas.

Menurut Pandalela, tumpuan beliau kini ialah Kejohanan Terjun Peringkat Umur Asia di Jepun pada pertengahan bulan ini dan juga Sukan SEA Laos Disember nanti.

Pada Kejohanan Terjun Peringkat Umur Asia itu, beliau akan mengambil bahagian dalam acara 10m platform individu serta acara 3m dan 1m papan anjal individu.

KEPUTUSAN:

10m Platform Lelaki:

Emas: Bryan Nickson Lomas 441.90 mata

Perak: Ooi Tze Liang 314.85

Gangsa: Abdul Rashid Muhammad 281.45

10m Platform Wanita:

Emas: Pandalela Rinong 344.55

Perak: Traisy Vivien 250.00

Gangsa: Kam Ling Kar 218.80

BERNAMA

Artikel Lain