suria

Bintang MU: Bantulah kanak-kanak HIV & AIDS jalani hidup mereka

KUALA LUMPUR: Perasaan mereka ternyata bercampur baur, antara riang dan berdebar-debar.

Runtunan emosi ini jelas terpancar di wajah anakanak ini ketika resah menunggu ketibaan "tetamu istimewa" mereka dalam tempoh sejam lagi.

Chris Ng, pemudah cara bagi majlis yang dianjurkan, sibuk berbual dengan anak-anak ini yang duduk dalam satu bulatan. Usahanya lebih untuk mengurangkan rasa gelisah anak-anak yang datang dari pelbagai latar belakang ini.

Sebaik sahaja tetamu-tetamu istimewa itu muncul, wajah mereka bersinar kegirangan terutama sekali bagi M.H kerana dia kini berdepan dengan wira bola sepaknya iaitu Ryan Giggs, Patrice Evra dan Federico 'Kiko' Macheda, tiga nama besar dari Kelab Bola Sepak Manchester United. Ketigatiga pemain Manchester United ini meluangkan masa untuk melawat PositiveLiving DropIn Centre, Yayasan PT, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, kira-kira empat jam selepas kapal terbang mereka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 17 Julai lalu.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berada di Malaysia sebagai sebahagian daripada program lawatan Asia Tour 2009.

Sembilan orang kanak-kanak yang dipilih untuk sesi pertemuan itu ialah dari keluarga antaranya yang menghidap HIV, pekerja seks atau penagih dadah di samping anak jalanan dan pelarian. Sepanjang sesi lebih sejam itu, kanak-kanak berkenaan bukan sahaja berkongsi perasaan mereka dengan tetamu-tetamu itu tetapi juga impian serta pengalaman kehidupan mereka yang dibayangi HIV, penyalahgunaan dadah, keganasan, eksploitasi dan hidup yang terumbang-ambing.

Bintang-bintang bola sepak Manchester United itu disertai Ketua Eksekutif Yayasan Manchester United, John Shiels.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Youssouf Oomar, Wakil Unicef ke Malaysia yang juga Wakil Khas Unicef ke Brunei Darussalam.

DIDIK ORANG RAMAI

Dalam wawancara dengan media, Giggs yang terbabit dengan program Unicef sejak 1999, berkata pendidikan ialah kunci untuk menangani isu stigma khususnya terhadap kanak-kanak yang menghidap HIV.

Orang ramai, katanya, mungkin tidak tahu sangat tentang HIV dan AIDS. Oleh itu, tambahnya, pendidikan boleh membantu menghapuskan stigma dan membolehkan anak-anak itu menjalani kehidupan serta memberi mereka peluang yang dinikmati kanak-kanak lain.

Giggs yang menyifatkan penderitaan yang ditanggung anak-anak akibat stigma sebagai satu tragedi, berharap kunjungannya dan rakan-rakannya ke Positive Living DropIn Centre, Yayasan PT akan dapat mengubah tanggapan yang negatif itu.

"Diharapkan hari ini kita dapat sebarkan mesej itu. Tak perlu pulau atau singkirkan mereka. Mereka kan hanya kanak-kanak.

"Mungkin mereka mempunyai latar belakang serta pengalaman kehidupan yang berlainan tetapi mereka juga ada aspirasi.

"Walau apa pun latar belakang mereka, di mana mereka tinggal atau status HIV mereka, mereka perlu diberi layanan yang saksama seperti kanak-kanak yang saya jumpa hari ini. Mereka ialah kanak-kanak yang periang dan bijak.

"Dengan pengalaman yang telah mereka lalui, kanak-kanak itu juga mahu memberi sumbangan supaya segala stigma ini boleh dihapuskan. Kesungguhan mereka ini amat bermakna," kata Giggs yang dilantik sebagai Duta Unicef United Kingdom sejak 2006.

Beliau juga berharap kanak-kanak yang menjadikan pemain bola sepak sebagai idola mereka dan tidak berapa tahu tahu tentang HIV, akan mengambil sikap positif terhadap kanak-kanak yang dijangkiti virus itu apabila melihat gambar beliau dan rakan-rakannya berinteraksi dengan mereka.

MEMBERI INSIPIRASI

Sementara itu, John Shiels berkata slogan Yayasan Manchester United, "Inspirasi untuk Yang Berpotensi, Memenuhi Impian", bertepatan dengan sesi pertemuan antara kanak-kanak itu dan pemain-pemain Kelab berkenaan.

"Apa yang penting ialah untuk memberi anak-anak ini keyakinan dengan kebolehan mereka sendiri dan dengan sedikit nasib serta usaha gigih, mereka boleh berjaya," katanya.

Sewaktu perbualannya dengan anak-anak itu, Shiels mengambil Kiko, anak kelahiran Rome, Itali yang memeterai perjanjian sebagai pemain profesional dengan Manchester United ketika berusia 17 tahun, sebagai pencetus inspirasi kepada mereka.

"Kiko kini berusia 17 tahun. Dia kini berada di ambang kegemilangan dan dijangka menjadi bintang besar, itu pun jika dia membuat keputusan yang tepat. Antaranya menjaga dirinya dengan baik dan memilih kawan-kawan yang mempunyai nilai-nilai murni.

"Pemudah cara, Chris (Ng) menjelaskan kepada kanak-kanak itu mereka juga perlu membuat keputusan yang sama, dan bertanya kepada diri mereka sama ada mereka dikelilingi kawan-kawan yang sesuai," kata Shiels.

Menurut Shiels, dari apa yang dapat dikumpulkan ketika berbual dengan kanak-kanak itu (Chris bertindak sebagai jurubahasa), ada kemarahan yang terpendam di hati mereka kerana terpaksa menyembunyikan perasaan itu meskipun mereka akan kecewa dengan kehidupan masing-masing.

Kanak-kanak itu, katanya, diberitahu tiada salahnya untuk mereka marah tetapi mereka perlu belajar mengawal kemarahan mereka.

"Mereka juga mempunyai banyak peluang untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya mereka bersikap positif berbanding jika bersikap negatif dan berkata tidak ada apa yang boleh dilakukan.

"Kami juga memberitahu mereka bahawa jika mereka tidak dapat mencari jawapan kepada masalah mereka, mereka tidak perlu takut untuk bercakap mengenai isu itu dan mencari orang atau agensi yang boleh memberikan jawapan," kata Shiels yang mempunyai empat orang anak berusia 15 hingga 19 tahun.

Ng pula berpendapat, sesi yang diadakan amat berfaedah untuk kanak-kanak berkenaan, kerana pemain-pemain Manchester United adalah contoh kejayaan yang boleh diteladani.

"Pemain-pemain itu berkongsi pengalaman peribadi mereka. Evra yang berasal dari Senegal ialah dari keluarga miskin dan dia sendiri memberitahu kanak-kanak itu bahawa dia tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha bagi mencapai citacitanya.

"Pemain-pemain juga menekankan dua perkara iaitu disiplin dan pendidikan. Kanak-kanak itu begitu berminat mendengar apa yang diperkatakan oleh pemain-pemain berkenaan. Tidak ada masalah bahasa dan mereka juga berkelakuan begitu baik sekali," kata Ng.

IMPIAN MENJADI KENYATAAN

Bercakap kepada Bernama selepas bintang-bintang bola sepak itu meninggalkan majlis, M.H, 17, yang telah bermain bola sepak selama enam tahun, ternyata masih lagi berada di awang-awangan.

Kata M.H, dia merasa amat teruja apabila diberitahu dua minggu sebelum sesi istimewa itu diadakan yang dia akan berjumpa dengan pemain-pemain bola sepak idolanya sehingga tidak dapat melelapkan mata.

"Giggs, Evra dan Macheda, mereka ialah pemain handalan. Saya sering menonton permainan mereka dan apabila berjumpa mereka hari ini, satu daripada impian saya telah menjadi kenyataan," kata M.H yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.

M.H yang duduk di sebelah Giggs sewaktu sesi interaksi berkata dia melontarkan soalan kepada ikon bola sepaknya iaitu apa yang menjadikan Manchester United begitu berjaya.

"Jawapan yang diberikan ialah bermain dengan baik, yakin dengan diri sendiri dan sekiranya mahu menang, perlu bermain dengan cemerlang.

"Saya juga bertanya kepada Evra satu soalan iaitu bagaimana untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang baik dan dia juga beritahu saya untuk berjaya, saya perlu percaya kepada diri saya, berlatih bersungguh-sungguh dan walau apa pun kata orang, sama ada saya boleh atau tidak, saya perlu percaya kepada diri saya. Jika saya ada impian, berusahalah dan impian itu akan menjadi kenyataan, " kata M.H.

UNITED UNTUK UNICEF

Lawatan ketiga-tiga pemain Manchester United dan Shiels ke Positive Living DropIn Centre Yayasan PT menandakan pencapaian terkini dalam perkongsian 10 tahun 'United untuk Unicef' antara kelab bola sepak Old Trafford dan Unicef.

Ia juga menunjukkan komitmen kelab yang berterusan untuk kempen global Unicef 'United for Children, United Against AIDS' (Bersatu untuk Kanak-Kanak, United menentang AIDS).

Sejak 1999, Kelab itu berjaya mengumpul lebih AS$3.75 juta (kira-kira RM13 juta) untuk program Unicef yang telah memberi manfaat kepada lebih 1.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia.

Perkongsian 10 tahun Kelab dan Unicef juga serentak dengan ulang tahun ke20 Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) tahun ini.

Menurut Wakil Unicef ke Malaysia, Youssouf Oomar, kanak-kanak dari komuniti yang dipinggir, termasuk anak-anak pekerja seks dan pengguna najis dadah serta anak pelarian sering menjadi mangsa prejudis, stigma dan diskriminasi.

"Hakikatnya apabila pemain-pemain Manchester United datang ke majlis ini, bercakap dengan kanak-kanak ini dan menjadikan mereka begitu gembira, menunjukkan mereka mengambil berat akan kebajikan anak-anak itu. Mereka merasakan kehadiran mereka dapat membawa keriangan dalam kehidupan anak-anak itu dan mengekalkan senyuman di wajah mereka.

"Usaha sebegini perlu diteruskan demi kanak-kanak dan jika kita kekal bersatu, kita mampu membawa keriangan dalam kehidupan anak-anak ini," kata Oomar. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain