KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara, Amirul Amizan Ibrahim memperbaharui rekod kebangsaan bagi kategori 56kg lelaki apabila berjaya membuat angkatan beban 146kg dalam acara Clean & Jerk pada kejohanan Mini Olimpik di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Dalam acara tersebut, Amirul Amizan memperoleh dua pingat emas apabila berjaya mengangkat beban 115kg bagi acara Snatch dan 146kg bagi acara Clean & Jerk.
Beliau yang sebelum ini mencipta rekod kebangsaan bagi kategori yang sama ketika beraksi dalam temasya Sukan Komanwel, Manchester pada 2002 dengan angkatan 145kg.
Amirul berkata beliau rasa gembira kerana hasratnya untuk memperbaharuhi rekod tercapai hari ini.
"Sejak daripada awal lagi saya telah dapat menjangka dapat perbaharuhi rekod hari ini," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Amirul berkata walaupun mengalami kecederaan di siku kiri, beliau masih gigih membuat persiapan bagi menghadapi Sukan SEA di Laos pada awal Disember ini.
"Persaingan di Laos nanti amat mencabar kerana ramai atlet angkat berat Asia akan turun padang namun demikian saya akan cuba untuk melakukan angkatan yang terbaik di sana nanti," katanya.
Sementara itu, dua pingat emas bagi kedua-dua acara dalam kategori 52kg lelaki menjadi milik Mantin Guntali setelah beliau berjaya mengangkat beban seberat 97kg bagi acara Snatch dan 130kg bagi acara Clean & Jerk.
Bagi kategori lelaki 62kg, atlet kebangsaan Arico Jumith berjaya memungut dua pingat emas bagi kedua-dua acara.
Arico berjaya mengangkat beban 121kg bagi acara Snatch dan 145kg bagi acara Clean & Jerk.
Bagi kategori 69kg lelaki pula, atlet kebangsaan Mohd Hafifi Mansor memperoleh pingat emas dalam kategori Snatch apabila berjaya mengangkat beban 132kg.
Pingat emas bagi acara Clean & Jerk kategori tersebut menjadi milik Mohd Faerul Taib dengan angkatan 165kg.
Bagi acara wanita, kategori 48kg dikuasai oleh atlet kebangsaan Zaira Zakaria yang memperoleh pingat emas bagi kedua-dua acara setelah berjaya membuat angkatan 67kg bagi acara Snatch dan 86kg bagi acara Clean & Jerk.
Seorang lagi atlet kebangsaan Raihan Yusof pula menyapu bersih dua pingat emas bagi kedua-dua acara untuk kategori 53kg wanita apabila berjaya membuat angkatan 75kg bagi acara Snatch dan 90kg bagi acara Clean & Jerk.
KEPUTUSAN MINI OLIMPIK (ANGKAT BERAT) LELAKI 56 KG ACARA SNATCH: Emas : Amirul Amizan Ibrahim Perak : Mohd Shafiq Ismail Gangsa : Khairul Ridzuan Ameran
ACARA CLEAN & JERK: Emas : Amirul Amizan Ibrahim Perak : Khairul Ridzuan Ameran
52 KG ACARA SNATCH: Emas : Mantin Guntali Perak : Mohd Fazli Dollah Gangsa : Lester Alvin Ambrose
ACARA CLEAN & JERK: Emas : Mantin Guntali Perak : Mohd Fazli Dollah
62 KG ACARA SNATCH: Emas : Arico Jumith Perak : Naharuddin Mahayuddin Gangsa : Mohd Osman Kadir
ACARA CLEAN & JERK: Emas : Arico Jumith Perak : Faizal Baharom
69KG ACARA SNATCH: Emas : Mohd Hafifi Mansor Perak : Mohd Faerul Taib Gangsa : Ahmad Fauzi Hasibullah
ACARA CLEAN & JERK: Emas : Mohd Faerul Taib Perak : Ahmad Fauzi Hasibullah
WANITA 48KG
ACARA SNATCH: Emas : Zaira Zakaria Perak : Azizah Fadhil Gangsa : Nordiana Nordin
ACARA CLEAN & JERK: Emas : Zaira Zakaria Perak : Nordiana Nordin
53KG ACARA SNATCH: Emas : Raihan Yusof Perak : Sharifah Inani Najwa Gangsa : Elyone Matin
ACARA CLEAN & JERK: Emas : Raihan Yusof Perak : Sharifah Inani Najwa
BERNAMA


