suria

Malaysia 'A' cipta kemenangan ke-2, Malaysia 'B" kalah lagi

IPOH: Pasukan Malaysia 'A' mencipta kemenangan kedua dalam saingan Kejohanan Hoki Tertutup Enam Sebelah Asia bagi merebut Piala Sultan Azlan Shah apabila membelasah Thailand 10-1 di sini hari ini.

Pasukan senior negara itu tidak menghadapi masalah untuk mengumpul mata penuh apabila tiga pemain S. Shanker, S. Kuhan dan Mohd Redza Maadun masingmasing menjaringkan dua gol.

Shanker menghasil gol pada minit kesembilan dan 34, Kuhan (17, 23) dan Mohd Redza pada minit ke38 dan 40 manakala satu gol masing-masing oleh Mohd Rodzhanizam (6), Mohd Faisal Kamaruddin (10), Ahmad Kazamirul Nasruddin (12) dan K. Keevan Raj pada minit ke-27.

Gol sagu hati Thailand dihasilkan oleh Kampanthong Thanop pada minit ke-35.

Semalam, Malaysia 'A' menewaskan pasukan Malaysia "B" 2-0.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, juara bertahan Iran membuka kempen dengan menewaskan Malaysia 'B' 6-1.

Iran bertindak cemerlang dengan menyempurnakan empat pukulan sudut penalti dan dua jaringan padang.

Abbas Aroui menjadi wira pasukan Iran apabila menjaringkan hatrik pada minit kelapan, 18 dan 21 diikuti dua gol oleh Javed Shabani pada minit ke-28 dan 39 dan Reza Kheirabadi pada minit ke-13.

Gol tunggal pasukan negara dihasilkan oleh Mohd Azammi Adabi pada minit ke-25.

Malaysia 'B' akan menentang Thailand pada pukul 4.30 petang esok diikuti Uzbekistan bertemu Iran pada pukul 6 petang. BERNAMA

Artikel Lain