suria

Nicol juarai Terbuka Malaysia buat kali kelima

PETALING JAYA: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David berjaya mengekalkan kejuaraan Terbuka Malaysia buat kali kelima berturut-turut selepas menyingkirkan Alison Waters dari England pada perlawanan akhir di sini hari ini.

Pada saingan di 'The Curve', Mutiara Damansara, Nicol, pemain nombor satu dunia, mengambil masa selama sejam untuk menewaskan Alison dengan keputusan 11-6, 11-8, 9-11, 11-7 dan membawa pulang hadiah wang tunai AS$8,550 (RM30,000).

Alison pula menerima AS$6,075 (RM22,000) pada kejohanan tersebut yang bertaraf Emas 45 dalam sirkit Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa (WISPA).

"Perlawanan itu memang sengit. Alison menampilkan persembahan terbaiknya dan sentiasa konsisten. Walaupun saya menewaskannya 30 pada Terbuka Seoul bulan lepas, namum saya terpaksa bekerja begitu gigih kali ini.

"Pada keseluruhannya, saya bangga untuk sekali lagi merangkul kejuaraan ini walaupun tidak memikirkannya buat kali kelima. Saya harap dapat mengekalkan rentak ini pada Singapura Masters minggu depan," kata Nicol.

Katanya, beliau ingin menumpukan kepada corak permainannya di Singapura Masters dan cuba memenanginya untuk merangkul kejohanan ketiga berturut-turut selepas Sukan Dunia di Kaohsiung, Taiwan, minggu lepas.

Pemain berusia 25 tahun itu akan kembali kampungnya di Pulau Pinang malam ini untuk menghadiri perkahwinan kakaknya Isnin ini.

Terdahulu itu, juara dunia tiga kali, Amr Shabana dari Mesir merangkul gelaran lelaki selepas menumpaskan pemain nombor lima dunia dan pemenang pingat emas Sukan Dunia 2009, Nick Matthew, dari England pada perlawanan akhir.

Shabana, pilihan utama kejohanan ini, bagaimapun, tewas set pertama 5-11 sebelum bangkit untuk mencipta kejayaan pada tiga set berikut 11-9, 11-6, 11-4 dalam masa 51 minit.

"Ini adalah perlawanan sukar menentang Matthew. Saya bangga dengan kejayaan ini. Musim baru bermula dan saya perlu mengharungi lapan atau sembilan kejohanan selepas ini. Kejayaan ini adalah permulaan baik untuk musim baru," katanya.

Selepas ini, beliau akan membuat persediaan menghadapi Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat di Chicago, bulan depan. BERNAMA

Artikel Lain