suria

Penembak pelapis tewaskan penembak kebangsaan dalam acara 10m Air Pistol

PETALING JAYA: Penembak pelapis Johnathan Wong menewaskan penembak handalan negara Hasli Izwan Amir Hasan untuk memenangi pingat emas acara 10 Air Pistol individu lelaki dalam saingan Mini Olimpik di Lapang Sasar Subang di sini hari ini.

Johnathan, 17, mencatatkan 672.10 mata untuk menewaskan Hasli Izwan, yang pernah layak ke suku akhir Sukan Olimpik Beijing, yang hanya mengumpulkan 656.90 mata untuk pingat perak manakala Ahmad Zhafri 651.70 mata mengutip gangsa.

"Dengan namanama besar seperti Hasli beraksi berhampiran saya, saya gementar tetapi saya cuba bertenang dan berjaya memberikan persembahan yang terbaik," katanya Johnathan kepada Bernama di sini hari ini.

Walaupun catatan yang dilakukan melayakkannya ke Sukan SEA Laos, mengatasi mata kelayakan 575 mata, Johnathan gagal mengatasi rekod kebangsaan 681 mata yang dilakukan oleh penembak kebangsaan Mohd Hashim Desa pada 1996.

" Saya mungkin layak ke Sukan SEA Laos tetapi saya akan mempertimbangkannya kerana saya akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (akhir tahun ini). Pelajaran merupakan keutamaan saya," kata pelajar Tingkatan Lima Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Sementara itu, dalam acara 50m Sports Rifle 3 Posisi wanita, pemegang rekod kebangsaan acara itu Nur Suryani Mohd Taibi menyerlahkan kehebatannya apabila mengumpulkan 674.30 mata untuk menang pingat emas.

"Saya sentiasa memastikan menang sekurangkurangnya satu pingat emas dalam setiap pertandingan peringkat tempatan dan saya gembira dapat terus melakukannya. Mata saya agak baik kerana ini bukan pertandingan yang kami sasarkan," katanya Nur Suryani yang melakukan rekod kebangsaan 689.9 mata pada Oktober 2005.

Beliau juga berjaya mengatasi mata kelayakan 575 mata untuk ke Sukan SEA Laos.

Dua penembak kebangsaan Shahera Rahim Raja (668.20) memenangi pingat perak acara itu manakala Muslifah Zulkifli (665.60) mengutip gangsa.

KEPUTUSAN:

10m Air Pistol Individu Lelaki:

Emas: Johnathan Wong 672.1 mata

Perak: Hasli Izwan Amir Hasan 656.9

Gangsa: Ahmad Zhafri Zamil 651.7

50m Rifle 3 Posisi Individu Wanita:

Emas: Nur Suryani Mohd Taibi 674.3

Perak: Norerffani Abdul Malick 668.2

Gangsa: Sarifah Zalina Syed Zirazila 665.6 BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain