suria

Hafiz ketepikan penembak Olimpik untuk raih emas

PETALING JAYA: Penembak kebangsaan Hafiz Adzha mengetepikan cabaran penembak bertaraf Olimpik, Hasli Izwan Amir Hasan untuk meraih emas acara 25m rapid fire pistol lelaki dalam acara menembak Kejohanan Mini Olimpik yang berlangsung di Lapang Sasar Subang, di sini hari ini.

Hafiz, 24, memungut 772.1 mata manakala Hasli mengutip 765.8 mata bagi meraih pingat perak dan gangsa pula milik Khalel Abdullah selepas mendapat 752.6 mata.

Rekod kebangsaan bagi acara ini dimiliki oleh Hasli yang mengutip 776.8 mata pada satu kejohanan menembak di Subang pada tahun 2007.

Hasli turut beraksi dalam acara yang sama pada Sukan Olimpik di Beijing tahun lepas tetapi pulang tanpa sebarang pingat.

Hafiz yang menyumbang satu gangsa dalam acara yang sama di Sukan SEA di Korat pada 2007 berkata beliau memerlukan latihan intensif untuk terus kekal mewakili negara ke Sukan SEA di Laos pada Disember depan.

"Persaingan pada Kejohanan Mini Olimpik tidak sengit kerana kami semua sering berlatih bersama. Tetapi saya perlu lebih fokus bila menghadapi penembak Asean yang lain di Sukan SEA nanti," katanya kepada pemberita.

Hafiz mula menceburi sukan menembak pada usia 16 tahun dan dinaikkan taraf menganggotai skuad elit penembak negara pada 2004.

Seorang lagi penembak berpengalaman, Nur Suryani Mohd Taibi mengungguli acara 10m Air Rifel Wanita Individu selepas memungut 500.5 mata, sekali gus menyamai rekod kebangsaan yang dilakukan oleh Shahera Rahim Raja dalam satu kejohanan di tempat yang sama pada 2007.

Perak milik Muslifah Zulkifli (491.6) dan Siti Fadilah Hamid mendapat gangsa (489.3). Shahera yang turut bertanding pada acara ini bagaimanapun sekadar menduduki tangga keempat selepas memungut 489.1 mata.

KEPUTUSAN:

25m Rapid Fire Pistol Lelaki:

Emas: Hafiz Adzha 772.1 mata

Perak: Hasli Izwan Amir Hasan 765.8

Gangsa: Khalel Abdullah 752.6

10m Air Rifle Wanita Individu:

Emas: Nur Suryani Mohd Taibi 500.5 mata

Perak: Muslifah Zulkifli 491.6

Gangsa: Siti Fadilah Hamid 489.3 BERNAMA

Artikel Lain