suria

‘Syif Malam’ rungkai mitos seram di pejabat, suntik elemen komedi elak penonton tutup mata babak menakutkan

Syif Malam menjanjikan keseronokan buat penonton apabila menontonnya.

FILEM Syif Malam yang bakal ditayangkan bermula 7 Disember depan menjanjikan jalan cerita menarik dan menghiburkan hati penonton selain mempunyai elemen-elemen seram di dalam cerita tersebut.

Pengarahnya, Fairus Anuar berkata, gabungan komedi dan seram itu dilakukan adalah bagi membolehkan orang ramai menonton cerita tersebut tanpa rasa takut.

"Konsep filem ini kalau boleh nak penonton tengok sambil buka mata, tiada yang tutup mana. Sebab apa yang saya nampak, bila cerita seram, semua tutup mata. Macam membazir dekat situ.

Syif Malam 2

Sidang media Syif Malam bersama barisan pelakon dan pengarah.

"Jadi, orang akan tengok sahaja cerita itu dan lebih menghayati jalan cerita yang ingin disampaikan," katanya kepada mStar.

Fairus memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas Majlis Malam Gala dan Sidang Media Filem Syif Malam pada Isnin.

Selain itu, Penerbit Ekslusif, Azahari Hamid memaklumkan sebanyak 70 pawagam akan menayangkan filem tersebut secara berterusan selama dua minggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Drama pendek popular di YouTube diangkat jadi filem, ‘Syif Malam’ papar kisah gangguan seram di tempat kerja

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Milenia 2023 tangguh hormati mangsa perang Palestin, Riezman Khuzaimi tanggung rugi RM500,000 jika dibatalkan

Azahari juga secara optimis mengharapkan supaya filem tersebut mendapat sambutan hangat dan memperoleh jualan mencecah sehingga RM 6.5 juta.

"Terus terang kalau ikutkan filem ini dikategorikan sebagai bajet marhaen. Tiada bajet yang lebih untuk lakukan pemasaran.

"Bajet untuk lakukan filem ini adalah hampir mencecah RM1 juta. Syif Malam akan ditayangkan di 70 panggung wayang seluruh Malaysia bermula 7 Disember depan," ujarnya.

Syif Malam akan ditayangkan di 70 panggung wayang seluruh Malaysia bermula 7 Disember depan.

AZAHARI HAMID

PENERBIT EKSLUSIF

Bercerita berkenaan pemilihan pelakon, Azahari berkata, kesemua mereka dipilih bagi memastikan watak yang cuba disampaikan adalah realistik.

"Konsep dari awal kami cuba untuk lebih dekat dengan realistik. Maksudnya, memang muka ini yang kerja di pejabat-pejabat. Membuatkan orang lebih faham dan dapat mood yang ingin disampaikan," ujarnya.

Syif Malam mengisahkan tiga rakan sepejabat iaitu Ikmal, Botak dan Mok yang bekerja sebagai pereka grafik, secara tidak sengaja merungkai mitos seram di bangunan tempat mereka bekerja sehingga merubah kehidupan masing-masing.

Syif Malam 1

Antara barisan pelakon dan produksi yang hadir pada malam gala Syif Malam.

Ia merupakan adaptasi daripada drama pendek berdurasi 14 minit karya berjudul Awanimbus di YouTube.

Syif Malam menampilkan barisan pelakon seperti Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Riezman Khuzaimi, Ismeth dan Mili Supina.

Filem berkenaan adalah terbitan syarikat Empire Film Solution Sdn. Bhd dan Thinkerbell Studios Sdn. Bhd.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Dua maut akibat letupan di kilang