suria

Sambutan luar biasa, hari pertama tayangan ‘Anwar: The Untold Story’ sudah kutip RM1 juta

Kutipan filem Anwar: The Untold Story cecah RM1 juta.

FILEM Anwar: The Untold Story menerima kutipan RM1 juta selepas sehari ditayangkan di 120 pawagam seluruh Malaysia.

Filem memaparkan kisah jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mencipta sejarah menjadi filem biopik pertama menerima kutipan tertinggi.

Menurut pengedar rasmi, DMY Creation, kutipan RM1 juta itu diperoleh pada hari pertama tayangan biarpun bersaing dengan filem antarabangsa, Fast X.

Pengerusi DMY Creation iaitu Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.

anwar1 - 1

Kisah Anwar disingkap menerusi filem adaptasi Anwar: The Untold Story.

"Kami bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini meraih sambutan luar biasa.

"Lebih menggembirakan rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri berbanding karya antarabangsa.

"Filem Anwar: The Untold Story menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pada masa depan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Anwar The Untold Story' paparan sejarah buat generasi muda, lakonan mantap Farid Kamil sampai ke jiwa PM

ARTIKEL BERKAITAN: Babak dengan Dr Mahathir benar, PM puas hati penceritaan dalam Anwar The Untold Story

"Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap naskhah biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga menerima rating antara 8 hingga 10 untuk filem lakonan Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu dimantapkan lagi dengan barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa yang diterima.

"Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.

"Kami berharap sambutan terhadap filem Anwar: The Untold Story akan berterusan kerana kami mensasarkan kutipan tinggi untuk filem ini," katanya.

Mengulas mengenai filem Anwar: The Untold Story lagi, kata Zunar, filem itu juga mencipta sejarah kerana menjadi filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pawagam.

"Saya akui filem ini banyak terima tempahan lebih awal oleh pihak pawagam. Contohnya, pawagam di MidValley dan Pulau Pinang yang sudah penuh dan ditempah lebih awal untuk tayangan filem ini,” katanya.

Mengenai harapannya pada filem Anwar: The Untold Story, Zunar berharap filem itu mendapat sambutan berterusan orang ramai.

"Filem Anwar: The Untold Story ini adalah genre yang jarang ada di Malaysia kerana ia membongkar kebenaran dan apa yang berlaku pada 1988.

"Justeru, saya berharap orang ramai akan datang untuk menonton kisah benar yang tidak pernah didedahkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Flem Anwar: The Untold Story juga menyaksikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.

anwar2 - 1

Filem Anwar: The Untold Story mendapat sambutan hangat.

Selain Malaysia sebagai lokasi utama, filem Anwar: The Untold Story menjalani penggambaran di Indonesia.

Anwar: The Untold Story mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya.

Filem memfokuskan bagaimana Anwar tegas menolak pelbagai jenis imbuhan dan wang tunai menyebabkannya difitnah dalam konspirasi besar hingga dipecat, dipukul secara brutal dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan sehingga beberapa hari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain