suria

Klise Dan Sindiran ‘Rempit Sampai Langit’

Antara adegan dalam 'Rempit Sampai Langit'.

Filem: Rempit Sampai Langit

Pengarah: Silver Chung

Pelakon: Ajak Shiro, Nabila Huda, Tauke Jambu, Reen Rahim, Jay Iswazir dan Cristina Suzanne.

Genre: Komedi/Aksi

Durasi: 89 minit

Pengedar: Skop Productions Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 23 November 2017

PENULIS percaya ada sebab mengapa aktor prolifik, Datuk Rosyam Nor memilih genre komedi, Rempit Sampai Langit untuk diterbitkan menerusi syarikatnya, Suhan Movies Sdn. Bhd.

Walaupun Rosyam bukanlah seorang penerbit filem yang aktif sejak mula menerbitkan filem pertamanya, Castello (2005), tetapi jika dilihat kepada portfolio seninya sebagai penerbit, ada kepelbagaian genre yang diterbitkan oleh Rosyam.

Selepas Castello, Rosyam menerbitkan pula Balistik (2014) yang merupakan filem aksi (walaupun bukan terbitan Suhan Movies) dan mempertaruhkan pula filem cinta dan drama, Isyarat Cinta setahun selepas itu.

Lalu, untuk melengkapkan profilnya sebagai seorang penerbit, Rosyam memilih genre komedi kerana tahu genre berkenaan amat mudah untuk menarik perhatian audiens terutama generasi muda ke pawagam.

Ternyata, pemilihan genre itu adalah tepat. Penulis yang berpeluang menonton Rempit Sampai Langit tidak menafikan bahawa ia adalah filem hiburan yang dihasilkan bagi menepati cita rasa sebahagian besar penonton filem Melayu.

Pada hemat penulis, corak filem seperti Rempit Sampai Langit sudah acapkali diketengahkan di layar perak dan disebabkan itu, secara zahirnya, ia boleh dianggap sebagai sebuah filem yang dikitar semula.

Malah, plot dan konflik dalam filem Rempit Sampai Langit juga adalah sesuatu yang klise dan tidak ada pembaharuan yang boleh dibanggakan.

Bahkan, aksi komedinya yang tidak masuk akal dan berlebih-lebihan itu pun penulis percaya semuanya sudah pernah disajikan sebelum ini terutama dalam filem-filem arahan dan lakonan Stephen Chow.

Namun, itu bukanlah satu kesalahan besar kerana sebagai sebuah filem aksi komedi, aspek seperti itu amat diperlukan bagi memberikan impak yang lebih buat penonton untuk terus berhibur di dalam pawagam.

Lakonan mantap Nabila Huda dan Ajak (Shiro)

Tetapi, semua itu berbalik kepada peranan Rosyam sebagai penerbit kerana sudah pasti, selaku penerbit filem, Rosyam tidak mahu menanggung kerugian. Maka dengan itu, untuk memilih jalan selamat, Rempit Sampai Langit adalah pertaruhan Rosyam dalam memberikan pulangan buat Suhan Movies.

Entah mengapa, sewaktu menonton Rempit Sampai Langit, ia secara tidak langsung mengingatkan penulis kepada filem XX Ray (1992) arahan Aziz M. Osman yang memiliki premis cerita yang lebih kurang sama.

Barangkali ia ada kaitan dengan watak seorang yang dianggap loser dan malang bernama Kudin (lakonan Ajak) yang berhadapan dengan pelbagai situasi menyulitkan sehingga teman wanitanya (Cristina Suzanne) beralih arah kepada lelaki lain.

Dalam erti kata lain, Kudin bukanlah seorang lelaki yang layak memberikan kemewahan dan kesenangan kerana hanya memiliki sebuah motor buruk bernama Kaduk yang modelnya tidak setanding dengan lelaki lain.

Namun, hidupnya berubah selepas secara tidak sengaja dipertemukan dengan seorang saintis Arab yang dikejar dan ditembak oleh penjahat (Jay Iswazir) yang kemudiannya menyerahkan Kudin dengan formula minyak isimewa yang dapat memberikan kelebihan luar biasa.

Seperti mana yang sudah dipertontonkan sebelum ini, nasib malang seperti Kudin kemudiannya berubah sekelip mata sehingga dia menjadi terkenal gara-garanya memiliki kuasa hebat selepas menggunakan formula itu sehingga namanya menjadi tular.

Konflik mula timbul apabila teman baik Kudin, Comel (Nabila Huda) yang sudah lama menyimpan perasaan terhadap Kudin mula terasa hati apabila merasakan dirinya mula dipinggirkan Kudin sebaik sahaja kehidupannya berubah.

Dalam masa yang sama, Comel juga turut berhadapan dengan konflik cinta tiga segi apabila majikannya, Bob (Tauke) turut menaruh perasaan terhadapnya dan mahu menjadikannya sebagai isteri.

Disebabkan itu, penulis katakan, Rempit Sampai Langit hanyalah sebuah filem ringan yang mengajak penonton berhibur secara amnya. Malah, kualiti persembahan pelakonnya juga adalah memang untuk filem seperti ini.

Pun begitu, ada beberapa kelompongan dari sudut penceritaan yang boleh dipersoalkan terutamanya kesan formula itu sendiri.

Tauke (Jambu) dan Nabila Huda.

Sebagai contoh, sewaktu saintis Arab itu mengatakan bahawa formula berkenaan akan berterusan memanjangkan hayat minyak kenderaan tanpa henti tetapi pada satu babak sewaktu Kudin bersaing dengan penjahat, secara tiba-tiba minyak motornya habis dan perlu ke stesen minyak untuk mengisi petrol.

Akan tetapi, dari sudut positif, karya ini bukan sekadar memberi hiburan tetapi sebenarnya memiliki kritikan sosial yang penulis sifatkan tepat mengenai sasaran berdasarkan senario yang dihadapi negara ketika ini.

Ini dapat dilihat kepada subjek minyak itu sendiri yang merupakan satu sindiran sehingga ada dialognya yang penulis sifatkan agak sinis juga.

Malah, paparan formula istimewa minyak yang menjadi rebutan itu bagaikan memberi satu gambaran bahawa alangkah seronoknya jika rakyat Malaysia memiliki formula berkenaan dalam berhadapan dengan masalah naik turun harga minyak kebelakangan ini.

Cubaan menjadi Jay Izwazir dalam filem ini.

Dalam satu aspek lain juga, paparan mengenai sekumpulan pekerja asing warga Bangladesh yang dipaparkan sebagai mereka yang rajin bekerja dan tahap kerajinan yang terus berganda itu juga merupakan sindiran tajam kepada orang Melayu khususnya apabila memperkatakan tentang pekerjaan.

Seperti mana filem seumpamanya sebelum ini, satu hakikat yang harus diterima adalah Rempit Sampai Langit juga sebenarnya memperlihatkan satu realiti bangsa Melayu yang kehidupan mereka banyak dihabiskan dengan pekerjaan yang sia-sia.

Malah, watak Kudin itu bagaikan satu perlambangan bahawa orang Melayu ini juga liat untuk berusaha ke arah yang lebih baik dan mengharapkan keajaiban untuk membantu mereka mengubah hidup.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017. Sebelum ini, penulis merupakan seorang bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Rosyam, Rempit Sampai Langit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain