suria

Julianne Moore Nyawa ‘Still Alice’

FILEM: Still Alice

PENGARAH: Richard Glatzer & Wash Westmoreland

PELAKON: Julianne Moore, Alec Baldwin, Kristen Stewart, Kate Bosworth dan Hunter Parish.

GENRE: Drama

DARUSI: 101 minit

PENERBIT: BSM Studio & Sony Pictures Classics

TARIKH TAYANGAN: 5 Februari 2015

SEBAIK sahaja tayangan perdana filem Still Alice di Festival Filem Antarabangsa Toronto tahun lalu, ia mula menjadi sebutan ramai dan meraih publisiti yang sangat meluas.

Bagi mereka yang menonton filem tersebut terutama di kalangan wartawan dan pengkritik filem, mereka memuji Still Alice terutama lakonan teraju utamanya iaitu Julianne Moore.

Bermula daripada situ, nama Moore menjadi sebutan sebagai salah seorang aktres yang mampu memberikan cabaran untuk musim anugerah kali ini dan sebagai calon utama untuk memenangi Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Dek kerana keberkesanan lakonannya dalam filem arahan Richard Glatzer dan Wash Westmoreland ini, ternyata telahan itu tidak silap apabila namanya tersenarai dalam pencalonan Oscar tahun ini  sementara dua trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam dua anugerah berprestij di Hollywood yakni Golden Globes dan Screen Actors Guild (SAG) sudah berada dalam genggamannya.

Lazimnya, mana-mana pelakon yang memenangi dua anugerah itu terlebih dahulu Sebelum Oscar, maka, secara rasminya mereka akan membawa pulang Oscar tanpa ragu.

mStar Default Image

Lakonan Kristen Stewart (kiri) sebagai Lydia membuktikan dia mampu lari dari bayangan watak Bella Swan.


Saya yang berpeluang menonton filem ini pada hari tayangan rasminya di Malaysia pada Khamis lalu (5 Februari) ternyata tidak meragui bahawa sememangnya Moore dengan mudahnya akan membawa pulang Oscar pertamanya selepas lima kali dicalonkan (dua untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan tiga untuk Pelakon Wanita Terbaik).

Apatah lagi, Moore cukup dikenali sebagai salah seorang aktres terbaik dalam generasinya membuktikan bahawa setiap watak yang diberikan kepadanya mampu digalas dengan cukup cemerlang dan meninggalkan impak tersendiri.”

Menerusi Still Alice, Moore membawakan watak sebagai Dr. Alice Howland, seorang profesor dalam bidang lingustik yang memiliki kerjaya yang cemerlang dan cukup dihormati kerana kredibilitinya.

Begitu juga dengan kehidupan peribadinya yang menyaksikan dirinya memiliki sebuah keluarga yang sangat bahagia di samping suami, Dr. John Howland (lakonan Alec Baldwin) dan tiga anak mereka iaitu Anna (Kate Bosworth), Tom (Hunter Parrish) dan Lydia (Kristen Stewart).

Apatah lagi, Alice cukup teruja mengetahui dirinya akan menjadi nenek apabila Anna bakal menimang cahaya mata kembar bersama suaminya, Charlie Jones (Shane McRae) lalu membuatkan Alice merasakan dirinya adalah insan yang paling bertuah.

Namun, Alice mula merasakan perubahan pada dirinya apabila mendapati dirinya sering hilang ingatan dan sukar mengungkapkan perkataan ketika dalam perbualan.

Lalu, dengan pantas dia bertemu dengan seorang pakar saraf dan membuat ujian serta pemeriksaan rapi.

Alangkah terkejut dirinya apabila hasil keputusan itu mendapati dirinya menghidap penyakit Alzheimer hanya pada usia 50 tahun walhal pada pengetahuan dirinya, penyakit itu sering dihidapi oleh mereka yang lebih berusia daripadanya.

mStar Default Image

Alec Baldwin (kiri) dan Julianne Moore dalam salah satu babak filem Still Alice yang sudah pun ditayangkan di pawagam tempatan.


Rentetan daripada itu, dia mula merasakan kebahagiaan yang dimilikinya bagaikan direntap.

Melihatkan kepada jalan ceritanya, barangkali akan ada yang beranggapan ia hanyalah sebuah cerita biasa. Saya tidak menafikan perkara itu kerana subjek tentang penyakit bukanlah baru untuk diangkat ke layar perak.

Akan tetapi, Still Alice yang diadaptasi daripada novel tulisan Lisa Genova ini berada dalam acuannya tersendiri adalah kerana lakonan Moore yang bagi saya adalah nyawa untuk filem itu terus bergerak sehingga ke garis penamat.

Dari awal penceritaan, sebaik sahaja watak Alice itu diperkenalkan, penghayatan Moore sebagai Alice sangat hidup sehinggakan saya sebagai penonton, di mata saya mempercayai bahawa apa yang ditonton di skrin adalah Dr. Alice Howland yang sebenar walaupun itu hanya sekadar watak fiksyen.

Setiap babak penuh dengan emosi Moore. Semua itu terpancar di wajah dan matanya lalu membuatkan penonton mampu merasai setiap momen yang dilalui oleh Alice baik  ketika dia sedang gembira mahupun melalui saat getir.

Sehinggakan dia sanggup meninggalkan rakaman video untuk dirinya sendiri sebagai persediaan untuk membunuh diri apabila sudah tiba ke satu tahap dia sudah tidak mampu menanggung penderitaan yang dialami.

Moore sangat bijak membawakan watak Alice. Perjalanan karakter itu berfokus dan  bergerak dengan lancar seiring dengan jalan cerita.

Sebagai penonton, saya turut merasai hubungan antara Alice dengan setiap watak di sekelilingnya terutama hubungannya bersama John yang begitu sabar dan setia bersama isterinya.

Antara babak yang meninggalkan kesan untuk saya sewaktu Alice yang mahu ke tandas sebelum pergi berjoging bersama suaminya. Sebaik sahaja dia memasuki rumahnya sendiri, dia terus hilang arah dengan membuka setiap pintu di dalam rumah itu untuk mencari tandas yang tidak dijumpainya.

Akhirnya, dia tidak dapat menahan lagi lalu dia terkencing di dalam seluarnya sehingga John datang untuk menenangkannya. Babak itu juga terkesan dengan skor muzik oleh Ilan Eshkeri yang turut menyumbang kesan dramatik pada babak tersebut.

Namun, nyawa Alice yang dihidupkan oleh lakonan Moore sebenarnya terletak kepada teknik close-up oleh pengarahnya dalam merakamkan karakter Alice yang tenang, matang, sentiasa tersenyum dan cuba bersikap positif walaupun perlu berhadapan dengan kesengsaraan.

Stewart yang sebelum ini cukup dikenali dengan watak Bella Swan dalam francais filem.

Twilight juga mempamerkan lakonan yang cukup bersahaja namun hidup sebagai anak bongsu yang memberontak secara berhemah. Biarpun babaknya tidak banyak, tetapi kehadirannya dirasai.

Pun begitu, di sebalik kecemerlangan Moore membawakan watak Alice, bagi saya sebenarnya, watak ini cukup mudah untuk aktres hebat seperti Moore. Dalam erti kata lain, watak Alice tidaklah begitu mencabar jika hendak dibandingkan dengan watak yang lebih berat dan beremosi yang pernah dibawakan oleh Moore.

Pendapat peribadi saya, Moore sebenarnya sudah lama layak dianugerahkan dengan trofi Oscar untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi hasil lakonannya dalam filem Boogie Nights (1997) atau Pelakon Wanita Terbaik bagi filem Far From Heaven (2002).

Bahkan, persembahannya dalam filem A Single Man (2009) juga sebenarnya layak dicalonkan untuk Oscar tetapi ia dipandang sepi oleh pihak juri pada tahun itu.

Akan tetapi, peluangnya itu sentiasa ditutup. Mungkin pihak juri merasakan sudah tiba masanya Moore diberikan trofi keramat itu menerusi Still Alice. Bukan kerana kasihan, tetapi kerana sudah tiba masanya dia diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Still Alice

Artikel Berikut

Artikel Lain