suria

Kisah Sebenar Pemburu Hantu Dalam 'Bangunan'

Aqasha dalam satu babak filem Bangunan

FILEM: Bangunan

PENGARAH: Khir Rahman & Sein Ruffedge

PELAKON: Khir Rahman, Aqasha, Sein (Ruffedge)

GENRE: Seram

DURASI: 1 jam 30 minit

PENERBIT: Camwerk Studio dan Suar Channel

TARIKH TAYANGAN: 5 Februari 2015

KETIKA menerima tugasan priviu filem berjudul Bangunan penulis sendiri tertanya-tanya tentang apa genre sebenar filem tersebut sama ada ia bercerita tentang korporat atau cinta.

Namun selepas menjejakkan kaki di lokasi tayangan medianya yang di sebuah pusat beli-belah di NU Sentral, Kuala Lumpur, barulah penulis mengetahui ia adalah cerita genre seram dengan aktiviti paranormal.

Pada mulanya tanggapan penulis ia seperti filem seram paranormal lain yang sedang ditayangkan iaitu Villa Nabila dan Puaka Balai Gombak yang memaparkan aktiviti paranormal iaitu mencari hantu di sebuah bangunan yang dikenal pasti dihuni makhluk halus.

Bagaimanapun, sebelum tayangan dimulakan pelakon Khir Rahman, Aqasha dan Sein Qudsi menerangkan telebih dahulu bahawa karya genre filem dokumentari (doku-filem) ini dihasilkan secara tidak sengajakan kerana pada asalnya produksi hanya ingin menjalankan kajian untuk projek filem mereka berjudul Garang.

Ternyata, 15 minit awal pembukaan cerita ini menarik perhatian penulis untuk terus menonton kajian yang dilakukan oleh ketiga-tiga pelakon ini.


Filem ini dilihat melangkaui filem pemburu hantu yang lain apabila apa yang dipaparkan itu bukan diolah untuk menakut-nakutkan penonton.

Ia seperti satu perjalanan produksi iaitu Khir, Sein, Aqasha serta beberapa krew lain yang terlibat untuk melihat kebenaran daripada apa yang diceritakan oleh orang ramai tentang sebuah bangunan yang dihuni makhuk halus.

Bermula dengan sebuah perbincangan di pejabat untuk menukar projek mereka daripada filem Garang kepada merakam aksi paranormal sepertinya jujur dan tiada unsur lakonan seperti filem-filem paranormal lain.

Mereka juga meminta bantuan seorang pakar agama yang juga rakan baik mereka bernama Yusran untuk pergi melihat bangunan yang dikatakan berpenunggu itu pada waktu malam.

Subjek iaitu hantu yang hendak dirakam adalah bukan sesuatu yang mudah, namun elemen seram yang muncul secara tiba-tiba dalam produksi mereka ketika proses rakaman itu sampai kepada penonton.

Malangnya, ketika penonton asyik dengan pembongkaran mesteri itu, rakan mereka iaitu Yusran menasihatkan agar aktiviti berkenaan dihentikan kerana terlalu bahaya selepas seorang daripada kru mereka dirasuk oleh entiti di bangunan itu.

Salah satu lokasi filem Bangunan.

Filem ini juga menggunakan footage kamera litar tertutup (cctv) daripada bangunan itu yang dirakam sekitar tahun 2010, di mana mangsa kejadian misteri itu dilaporkan terkena gangguan.

Menariknya, ia diulang siar beberapa kali dalam keadaan perlahan supaya dapat dilihat ditonton secara jelas, sekali gus menimbulkan rasa seram.

Selain itu, dialog antara Khir dengan Yusran, "nak bawak pulut ke?" Yusran selamba jawab, "bawak pulut aku makanlah." membuatkan penonton terhibur biarpun dalam keadaan seram.

Bagaimanapun, filem ini dipecahkan kepada dua bahagian, segmen kedua adalah filem pendek lakonan semula sebuah kes yang diceritakan oleh seorang individu tentang wanita bisu yang tinggal bersendirian di rumah.

Biarpun ia sedikit menjejaskan pemahaman penonton pada dokumentari awal, namun filem pendek itu layak dipuji kerana suntingan, penggunaan bunyi dan kesan bayang-bayang yang dioleh cukup membuatkan penonton menjerit ketakutan.

Pada penulis, mereka tidak perlu untuk mencampurkan filem pendek ini dalam doku-filem itu yang dilihat hanya membuatkan penonton mempersoalkan kebenaran filem dokumentari tersebut.

Filem Bangunan sudah berada di pawagam bermula 5 Februari 2015.

Bangunan, Akasha, Khir Rahman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain