suria

'Ia Wujud' Kisah Seram Di Lokasi Sebenar

Ia Wujud ditayangkan bermula 15 Mei lalu.
FILEM: Ia Wujud

PENGARAH: Dharma Aizat 

PELAKON: Zakaria Zahid, Ahmad Syafiq, Muhd Arif Adam, Anam Azizan dan Tommy.

DURASI: 80 Minit

GENRE: Seram

TERBITAN: Metrowealth International Group (MIG)

TARIKH TAYANGAN: 15 Mei 2014

SEJUJURNYA penulis pada mulanya tidak pasti sama ada filem terbaharu terbitan Metrowealth International Group (MIG) berjudul Ia Wujud  ini adalah benar-benar kisah benar yang dirakam oleh lima anak muda atau sekadar gimik semata-mata.

Namun berdiri juga bulu roma penulis apabila mendengar sendiri cerita mengenai pengalaman pelakon dalam filem ini ketika mereka cuba menjejak kewujudan makhluk halus di tapak taman tema pertama yang pernah popular sekitar tahun 1970-an iaitu Mimaland di Gombak, Kuala Lumpur.

Mimaland yang ditutup sekitar tahun 1994 terkenal dengan jolokan antara 10 tempat paling menakutkan di negara ini membuatkan penulis kagum dengan semangat dan keberanian mereka dalam mencari kebenaran tentang cakap-cakap cerita seram mengenai taman tema itu selama ini.

Bersandarkan kepada konsep 'found footage', Ia Wujud  adalah sebuah karya yang baik dan tidak kelihatan seperti dirancang atau dibuat-buat malah kesemua pelakon yang ditampilkan bukanlah pelakon sebaliknya hanya orang biasa.

Permainan Spirit of Coins bertukar menjadi bencana kepada kelima-lima sahabat itu.

Penampilan Zakaria Zahir, 27, misi itu turut disertai oleh Ahmad Syafiq Khairul Anuar (Mat), 22, Mohd Khairul Anam Aziz (Anam), 23, Muhammad Arif Adam Mohd Fadlee (Arif), 20 dan Tommy Jimmy (Tom) cukup bersahaja dan berbekalkan beberapa buah kamera mereka berjaya mengumpul rakaman menarik malah cukup menyakinkan.

Visual asal hampir lima jam yang berjaya dikumpul kelima-lima mereka diolah dan disunting oleh pengarah Dharma Aizat bagi menjadikan filem itu lebih menyakinkan dan menarik.

Malah Dharma berjaya menyerlahkan karakter kelima-lima watak dalam filem berkenaan yang mempunyai keistimewaan masing-masing dan langsung tidak kelihatan seperti dibuat-buat.

Paling menjadi perhatian adalah Anam seorang lelaki berperwatakan lembut dan paling banyak menimbulkan kerenah namun memberi warna kepada filem ini.

Biarpun bersikap manja namun misinya untuk membuktikan kepada rakan-rakan bahawa dia juga mempunyai keberanian untuk menghadapi situasi menyeramkan di Mimaland itu menarik perhatian.

Entiti yang berjaya dirakam ketika mereka membuat penggambaran di taman tema itu.

Manakala perwatakan Tommy yang begitu mengambil berat terhadap Anam yang sering dimarahi oleh Arif yang panas baran menimbulkan elemen lucu terutamanya ketika dia bercakap dalam dialek Sabah.

Ia Wujud mengisahkan mengenai sekumpulan lima orang pemuda yang cuba mencabar keyakinan diri mereka nekad mahu mencuba nasib untuk mengenal pasti kewujudan makhluk halus di taman tema berkenaan.

Biarpun dihalang oleh pengawal keselamatan daripada memasuki kawasan tersebut mereka tetap berdegil dan berjaya memasuki taman tema itu. 

Sebaik berada dalam kawasan yang penuh dengan misteri itu, mereka terus memulakan tiga permainan dipilih iaitu ‘Spirit of the Coin’, ‘pochong’ dan ‘pemujaan pontianak’. Bagaimanapun, permainan itu tidak lancar kerana ada gangguan.

Pelbagai kejadian pelik turut berlaku hingga membuatkan keadaan menjadi kelam kabut dan menjadi mimpi ngeri buat mereka.

Lembaga yang dipercayai pontianak muncul dalam sebuah hotel yang ditinggalkan di taman tema itu.

Sementara itu, bagi menjamin keaslian filem berkenaan, Dharma mengekalkan audio asal namun diperkemaskan selain tidak menambah efek lain bagi menjadikan karya itu lebih menarik.

Malah visual gangguan dan pelbagai entiti yang berjaya dirakam seperti kelibat pocong dan puntianak biarpun kabur tetap dikekalkan seperti asal tanpa sebarang efek untuk membuatkannya lebih menarik.

Semua bukti yang dipaparkan menerusi filem itu sedikit sebanyak membuktikan kebenaran bahawa Mimaland adalah antara tempat  berhantu di negara ini.

Ia Wujud wajar diberi perhatian oleh penggemar filem seram sekiranya mereka berminat untuk mengetahui kisah disebalik taman tema terbiar itu.

Ia Wujud, Mimaland

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain