suria

[VIDEO] Penerbit filem ‘Putera Empayar Nusantara’ tuntut RM34 juta dari kerajaan Negeri Sembilan selepas langgar kontrak

SYARIKAT pembikin filem, Eria Ventures Sdn. Bhd. terpaksa meneruskan hasrat menyaman kerajaan Negeri Sembilan kerana melanggar kontrak kerjasama pembikinan filem Putera Empayar Nusantara selepas pihaknya menanggung kerugian kira-kira RM7 juta bagi kos pra produksi.

Pengarah dan penerbitnya, Asmadie Mohkhadar juga kesal, hasrat untuk berunding secara baik tidak diendahkan walaupun beberapa kali surat tuntutan melalui peguam dihantar untuk mencari penyelesaian mengenai dana RM34 juta yang dijanjikan kerajaan negeri bagi pembikinan filem.

"Kami sudah beberapa kali hantar surat melalui peguam kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk berbincang mencari jalan bagaimana perkara ini dapat diatasi namun, mereka buat endah tak endah.

saman

Asmadie (kanan) bersama Penerbit Eksekutif Mohd Fazli (tengah) dan Azhan Mokhtar.

"Langkah terakhir yang terpaksa kami buat ialah menyaman mereka dengan menuntut sejumlah bayaran atas tujuan untuk memastikan projek filem ini dapat diteruskan," katanya dalam satu pertemuan dengan mStar.

Hadir sama Penerbit Eksekutif syarikat itu, Mohd. Fazli Hassan.

Asmadie menambah, mengikut perancangan filem itu sepatutnya menemui penonton pada tahun lalu namun penggambarannya tidak dapat dilaksanakan selepas negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain dana yang dijanjikan itu tidak disalurkan oleh pihak berkenaan.

Saya pernah berjanji kepada arwah ibu untuk siapkan filem ini, jadi perlu disiapkan dan sedang mencari dana

ASMADIE MOKHADAR

PENERBIT/ PENGARAH

Tambahnya, kerugian ditanggung selepas mereka telah membayar wang pendahuluan kepada pekerja belakang tabir selain para pelakon membabitkan bintang dalam negara dan dari Indonesia.

"Kami mengambil masa dua tahun untuk membuat keputusan saman selepas Letter of Demand (LOD) dan surat saman yang dihantar tidak dilayan," katanya.

Asmadie memberitahu pada 25 Julai lalu, kes itu telah disebut di Mahkamah Tinggi Seremban dan mereka diberi tempoh sehingga 15 Ogos depan untuk menjawab segala saman yang difailkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka penerbit ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan’ bukan orang filem, 30 tahun tak jejak panggung wayang

ARTIKEL BERKAITAN: Ratu Kala Jengking, Tiada Tajuk dan Ada Apa Dengan Dosa antara 55 filem bertanding rebut trofi Filem Terbaik FFM31

Dalam pada itu, bercakap lanjut mengenai filem itu, Asmadie memberitahu bajet filem RM34 juta adalah termasuk proses pra ptroduksi, pembayaran pelakon dan kru, pembinaan prop selain melibatkan penggambaran di Indonesia.

Malah pihaknya juga berjaya mendapat sokongan daripada 54 negara yang bersedia untuk menayangkannya.

Asmadie turut berharap, saman yang dikeluarkan itu dapat menanggung kerugian dialami pihaknya selain boleh digunakan untuk menyambung kembali penggambaran yang tergendala sejak 2020.

Asmadie (tengah) tuntut janji kerajaan Negeri Sembilan.

"Saya pernah berjanji kepada arwah ibu untuk siapkan filem ini, jadi perlu disiapkan dan sedang mencari dana. InsyaAllah dalam masa terdekat kami cuba siapkan," katanya.

Untuk rekod, Putera Empayar Nusantara menjadi produksi filem tempatan pertama yang mendapat kerjasama penggunaan CGI daripada Linux Group yang cukup dikenali di Hong Kong dan China.

Filem ini membariskan barisan pelakon seperti Wak Didi, Wan Raja termasuk pelakon Indonesia Cecep Arif Rahman dan Ismi Melinda selain turut menggunakan tiga khidmat pengarah iaitu Asmadie sendiri dan Javert dari Malaysia serta Ario Sagantoro dari Indonesia.

Ia mengangkat kisah sebenar zaman kesultanan Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah iaitu selepas peristiwa Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain