suria

Ratu Kala Jengking, Tiada Tajuk dan Ada Apa Dengan Dosa antara 55 filem bertanding rebut trofi Filem Terbaik FFM31

Ratu Kala Jengking dan Ada Apa Dengan Dosa bertanding rebut trofi Filem Terbaik FFM31.

SEBANYAK 55 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan bagi merebut trofi Filem Terbaik pada penganjuran Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 32 filem berbahasa Melayu dicalonkan, manakala dua (Inggeris), lapan (Mandarin), dua (Iban) dan 11 (Tamil).

ARTIKEL BERKAITAN: A. Aida labur ratusan ribu ringgit untuk CGI filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda - “Hasilnya... boleh tuju pada KRU”

ARTIKEL BERKAITAN: Ada sedikit kelemahan namun sindiran dan sinikal cara Mawi dalam ‘Tiada Tajuk’

Antara filem dicalonkan pada acara berprestij itu termasuk Wira, Tiada Tajuk, Motif, Suatu Ketika, Sangkar, Pusaka, Mimaland, Ratu Kala Jengking, Geran dan Bulan & Pria Terhebat.

Turut tercalon adalah Ejen Ali The Movie, Upin Ipin - Keris Siamang Tunggal, Ada Apa Dengan Dosa, Anak Perjanjian Syaitan, Wangi, Misteri Dilaila, Kron, Roh dan Misi Operasi X.

ui

Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal turut layak merebut trofi utama FFM31.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Sekreteriat FFM31, Raja Khairul Azman yang diadakan di Hotel Royale Chulan Petaling Jaya, Selangor pada petang Rabu.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia Nasional Malaysia (Finas) merangkap Penasihat FFM31, Zakaria Abdul Hamid.

FFM31 bakal diadakan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada pukul 9 malam dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 dan YouTube Finas Malaysia.

Pemilihan lokasi itu dilihat bersesuaian kerana mampu menampung jumlah tetamu jemputan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penganjuran majlis besar seperti ini.

Edisi kali ini bertemakan Sinema Malaysia dan Inspirasi Kecemerlangan Global serta Transformasi industri perfileman era 50-an sehingga yang terkini.

FFM31 menampilkan Awal Ashaari dan Sharifah Shahirah sebagai hos.

Untuk karpet merah pula akan dikendalikan oleh Naz Rahman dan Natasha Charmaine.

tiada tajuk

Filem Tiada Tajuk dibintangi oleh Hazama, Along Cham dan Joey.

Beberapa nama besar seperti Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Liza Hanim, Datuk Syafinaz Selamat, Sabri Yunus, Mus May dan Ella akan mengadakan persembahan.

Penyampai anugerah pada malam itu ialah AR Badul, Susan Lankester, Puan Sri Tiara Jacquelina, Bade Hj Azmi, Erra Fazira, Faizal Hussein, Adrian Teh, Sangeeta, Aziz M Osman, Fauziah Ahmad Daud dan Fimie Don.

Selain itu, Mimi Lana, Datin Lisa Surihani, Imuda, Raja Mukhriz, Liyana Jasmay, Saw Teong Hin, Lim Mei Fen dan Dr Vimala Perumal.

Dalam pada itu, FFM31 edisi kali ini mempertandingkan 22 kategori termasuk enam anugerah khas iaitu Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman, Anugerah Penggiat Belakang Tabir, Anugerah Khas Juri 1, Anugerah Khas Juri 2, Anugerah Khas Juri 3 dan Anugerah Box Office.

Pemenang Filem Terbaik akan memenangi Trofi dan dana kandungan digital (DKD) berjumlah RM500,000.

Manakala kategori lain akan memenangi trofi bersama wang tunai.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain