suria

[VIDEO] Yasin Sulaiman terlepas hukuman gantung, bebas tuduhan mengedar dadah

PENYANYI nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman menarik nafas lega apabila terlepas daripada hukuman gantung sampai mati berhubung tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja dianggarkan seberat 214 gram, Mac lalu.

Menerusi prosiding pada Rabu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan berkenaan.

Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 47, ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan melihat keputusan itu sebagai perkembangan positif bagi dirinya.

"Alhamdulillah, saya baik... Saya ikut segala proses dan peruntukan undang-undang dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini," katanya kepada mStar.

Sebelum ini Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

file7ljk5evasg743u4llpt

Yasin syukur bebas daripada tuduhan mengedar dadah pada Mac lalu.

Bagi pertuduhan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk Yasin dituduh semula bagi pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat, pertuduhan baharu iaitu memiliki Kanabis, kemudian telah dibacakan terhadap Yasin dan penyanyi tersebut mengaku tidak bersalah.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Yasin Sulaiman akhirnya dapat lepas rindu, tiga bulan terpisah... Sempat tegur bapa sebelum masuk mahkamah

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Yasin diwakili oleh peguam Ariff Azami Hussein, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai keputusan berkenaan, Yasin memberitahu dia akan meneruskan perjuangan meluluskan perubatan kanabis untuk digunakan sebagai salah satu kaedah perubatan di Malaysia.

Yasin berkata, dia berharap Malaysia akan lebih terbuka dan membenarkan kaedah perubatan itu setanding negara-negara maju yang lain apatah lagi rawatan bagi penyakit bipolar yang didakwanya terletak pada tumbuhan tersebut.

"Bagi saya perjuangan sekarang adalah untuk meluluskan perubatan kanabis, kes saya ini tidak mengapa, kita ikut prosedur sehingga ke akhirnya... hukum ke tidak, tidak mengapa, no problem!" ujarnya.

Mahkamah menangguhkan kes itu untuk sebutan semula pada 22 Ogos depan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain