suria

[VIDEO] Mahkamah perintah Ira Kazar tak ganggu Puteri Sarah

ANAK kepada pelakon Kazar iaitu Ira Kazar yang didakwa menjadi punca kepada keretakan rumah tangga pasangan selebriti Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana diperintah oleh pihak mahkamah untuk tidak memuat naik sebarang hantaran di media sosial.

Ira atau nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin diperintah untuk berhenti mengeluarkan, menyebarkan dan menghantar sebarang kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan terhadap Puteri Sarah dalam media sosial sehinggalah perbicaraan penuh kes berkenaan.

Menurut peguam yang mewakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, mahkamah juga mengekalkan perintah interim injuksi kepada Ira Kazar di mana tidak boleh mengganggu Puteri Sarah, sekiranya gagal maka ia dianggap menghina keputusan mahkamah.

ira 3

Datuk Akberdin mewakili Puteri Sarah.

"Pihak defendan (Ira Kazar) sendiri sudah mengaku dan berjanji tidak akan membantah perintah interim injunksi sehingga mahkamah buat keputusan di akhir kes.

"Di akhir kes mahkamah kita akan kemukakan segala kerugian dan ganti rugi untuk pihak mahkamah memberikan pampasan," katanya kepada mStar.

Akberdin yang mewakili Puteri Sarah selaku plaintif ditemui selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil, Rofiah Mohamad di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: "Sampai bila mahu dipijak-pijak?" - Puteri Sarah saman Ira Kazar, nampak jalan selepas solat istikharah

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Sarah terima DM tanya fasal cerai, dah malas layan drama ‘kaki sondol’

Bagaimanapun dalam prosiding yang berlangsung, Ira selaku defendan dan Puteri Sarah tidak hadir dan mahkamah kemudian menetapkan 23 Ogos depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Sebelum ini, plaintif telah mendapatkan perintah interim injunksi dan permohonan itu telah dihantar kepada defendan pada 28 Jun lalu.

Sementara itu, peguam kedua-dua belah pihak belum lagi memberi kata putus untuk menyelesaikan perkara ini secara baik.

Sekiranya ada inisiatif (selesai cara baik) kita tengok dulu... kita bukan arrogant (ego) jadi asalkan tawaran itu logikal kita akan pertimbangkan

DATUK AKBERDIN ABDUL KADER

PEGUAM PUTERI SARAH

"Sekiranya ada inisiatif (selesai cara baik) kita tengok dulu... kita bukan arrogant (ego) jadi asalkan tawaran itu logikal kita akan pertimbangkan selepas mendapat arahan anak guam (Puteri Sarah)," kata peguam itu lagi.

Selain Akberdin, peguam plaintif yang turut hadir dalam pengurusan kes itu ialah Siti Natasha Basheer Hassan.

Sementara itu, peguam Ammar Ghalip yang mewakili Ira Kazar ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya perlu memasukkan pembelaan dalam tempoh sebulan sebelum atau pada 4 Ogos ini.

ira 2

Ira (kanan) didakwa jadi orang ketiga ganggu rumah tangga Puteri Sarah.

"Saya sudah memasukkan dan menyerahkan kehadiran kepada plaintif dan mahkamah mengesahkan defendan (anak guam) telah melantik peguam dan kehadiran dimasukkan pada Jumaat lalu," kata Ammar.

Menerusi kenyataan Puteri Sarah di mStar, tindakan saman ini dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana merasakan ia jalan terbaik untuk menyelesaikan semua kemelut selepas empat tahun menyimpan perasaan.

Pergolakan rumah tangga pasangan selebriti itu berlarutan sejak empat tahun lalu dan Puteri Sarah pernah mengatakan tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya gara-gara gangguan orang ketiga.

Pelakon wanita itu juga mendakwa individu terbabit melakukan gangguan berkenaan dengan bersembunyi di sebalik puluhan akaun media sosial palsu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain