suria

Jemput PU Amin berbuka puasa, instafamous kesal niat murni disalah anggap... dituduh sengaja nak viral

Nadira terkejut foto tular sehingga menerima kecaman netizen di laman sosial.

SELEPAS menerima pelbagai kecaman kerana memuat naik foto bersama Pencetus Ummah (PU) Amin di laman Instagram, personaliti media sosial Nadira Isaac akhirnya tampil menjelaskan tindakannya berkongsi gambar berkenaan.

Tidak menyangka perkongsiannya itu membangkitkan kemarahan netizen, Nadira, 21, berkata dia hanya ingin berkongsi kemeriahan semasa majlis berbuka puasa yang turut dihadiri oleh PU Amin.

"Sejujurnya benda ni saya tak rancang pun... bukan saja-saja nak cetuskan viral tapi tak sangka foto itu kecoh di Twitter dan Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: Foto PU Amin bergambar dengan Instafamous seksi undang fitnah, tak hormat ustaz - “Dakwah bukan sekadar di masjid dan surau sahaja”

"Niat saya jemput PU Amin hanyalah untuk baca doa sambil menikmati hidangan berbuka puasa, lagipun dia singgah sekejap sahaja dan saya pun sangat berbesar hati apabila dia terima jemputan ini.

"Semasa dia nak balik selepas berbuka puasa, kami sempat bergambar kenangan tapi hanya ada foto yang diambil dari sisi itu sahaja, mungkin nampak agak seksi... tapi saya tak jangka akan jadi begini!” katanya kepada mStar.

Nadira terkejut foto bersama PU Amin tular.

Dalam pada itu, usahawan muda ini mengakui kesal apabila ada segelintir netizen yang menuduhnya sengaja mencipta publisiti murahan dengan memuat naik foto tersebut.

Kata Nadira, dia hanya menjadi diri sendiri dan tujuannya berkongsi gambar itu bukanlah untuk memalukan mana-mana pihak.

"Saya kesal apabila ada yang kata penganjur sengaja nak cipta kontroversi dengan menjemput PU Amin sedangkan niat saya panggil dia untuk berbuka bersama kami semua.

Saya ambil keputusan untuk tidak baca komen kecaman netizen dan berharap isu ini segera reda.

NADIRA ISAAC

PERSONALITI MEDIA SOSIAL

"Jadi saya ambil keputusan untuk tidak baca komen kecaman netizen dan berharap isu ini segera reda kerana tak sangka seteruk ini kritikan mereka hanya kerana sekeping gambar.

"Sebenarnya apa yang saya tunjuk di media sosial itu adalah diri saya, memang itu penampilan saya selama ini," ujarnya.

Sementara itu, PU Amin atau nama sebenar Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, 30, memberitahu niatnya hadir ke majlis tersebut adalah untuk menyebarkan dakwah dan menyempurnakan tugasnya secara bersemuka.



Nadira akui foto ini diambil dari sisi yang menampakkan dirinya agak seksi.

"Ini peluang untuk menyampaikan dakwah secara berhadapan. Saya tahu kesan fitnahnya besar tetapi kalau bukan waktu itu, bila lagi hendak tazkirah secara berdepan dengan golongan yang saya lawan sebelum ini.

"Saya mohon maaf jika perbuatan saya mengambil gambar itu satu perkara yang memalukan dan mengaibkan, ” katanya.

Bekas peserta program Pencetus Ummah 2015 ini juga berkata dia tidak menyangka foto berkenaan ditularkan oleh pihak penganjur selepas majlis berakhir.



PU Amin berdakwah tanpa mengira tempat dan golongan masyarakat.

"Selepas berbuka puasa, saya terus menunaikan solat Maghrib namun, selepas itu saya memang bergegas nak pulang sebab bertugas di masjid berdekatan.

"Penganjur minta nak bergambar. Saya raikan, kerana mahu segera untuk pulang namun, tidak sangka pihak penganjur viralkan foto tersebut tanpa mengetahui tujuannya. Akhirnya teruk saya dihentam, difitnah dan dicaci maki pada hari ini. Ramadan baru dalam fasa pertama, namun ujian berat bagi saya,” katanya lagi.

Difahamkan PU Amin diundang bagi membacakan doa dan menyampaikan tazkirah semasa majlis berbuka puasa dan pelancaran produk kecantikan Troieka yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain