suria

Jaga-jaga! Ada dua lagi MV iklan judi raya tunggu masa dilancarkan - “Kali ini lebih pendek”

Video iklan raya baharu berdurasi pendek yang sedang disiasat pihak polis.

MASYARAKAT diminta berhati-hati dengan kemungkinan penyebaran dua lagi video muzik (MV) bertemakan sambutan Aidilfitri bagi mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa dua video berkenaan hanya menunggu masa untuk disebarkan di media sosial.

“Kita baru menerima maklumat ada dua lagi video... tapi video ketiga dan keempat ini tidaklah seperti video pertama dan kedua.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi lagu iklan judi raya sudah dicekup!

“Ia lebih pendek dan juga hanya melibatkan nyanyian lagu raya serta ajak orang untuk terlibat dalam aktiviti perjudian, ” katanya dalam satu temubual bersama mStar di pejabatnya pada Isnin.

Sejak Khamis minggu lalu orang ramai dikejutkan dengan penyebaran dua MV raya promosi judi yang menggunakan khidmat pelakon sambilan dalam kalangan umat Islam.



Antara video iklan raya mempromosikan judi yang sedang disiasat.

Susulan itu seramai 18 individu termasuk pelakon bagi kedua-dua MV, ejen pencarian bakat, penyanyi serta kru produksi ditahan setakat ini bagi membantu siasatan.

Tambah Mohamad Zainal, pada petang Isnin pihaknya membebaskan enam individu yang direman sejak Sabtu dan Ahad termasuk dua pelakon bagi MV kedua.

“Apa yang kita dapat daripada siasatan awal, orang yang kita tahan mendedahkan beberapa nama dan insyaAllah kita akan kesan mereka sampai dapat.



Mohamad Zainal memberi keterangan berhubung isu iklan video raya yang mempromosikan perjudian atas talian.

“Kita harap dalam tempoh terdekat akan ada lagi tangkapan, kita sedang berusaha dan tak akan biarkan perkara ini terus berlaku dalam negara, kita kena bertindak segera, ” katanya.

Jangan martabat dan agama ini dijatuhkan oleh orang Islam sendiri. Kita harap tak ada lagi anak muda berlakon semata-mata nak cari duit seperti ini.

ACP MOHAMAD ZAINAL ABDULLAH

Ketua Polis Daerah Dang Wangi

Selain itu Mohamad Zainal turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian.

“Saya juga ingin nasihatkan khususnya anak-anak muda apatah lagi yang beragama Islam supaya jangan terlibat dalam mempromosikan aktiviti judi.

“Tambahan lagi dalam bulan Ramadan, kita minta fikir banyak kali. Jangan hanya fikir profesionalisme tapi fikir juga akidah, agama kita.

“Jangan martabat dan agama ini dijatuhkan oleh orang Islam sendiri. Kita harap tak ada lagi anak muda berlakon semata-mata nak cari duit seperti ini, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain